Anda di sini

21 mati dalam kesesakan trafik di Pakistan

Advertisement
Gambar serahan Perkhidmatan Perhubungan Awam Dalam Negeri (ISPR) kelmarin menunjukkan anggota tentera menyertai operasi menyelamat dan membersihkan jalan raya yang dilitupi salji tebal di Murree, kira-kira 70 kilometer timur laut Islamabad. - Gambar AFP
Gambar serahan Perkhidmatan Perhubungan Awam Dalam Negeri (ISPR) kelmarin menunjukkan anggota tentera menyertai operasi menyelamat dan membersihkan jalan raya yang dilitupi salji tebal di Murree, kira-kira 70 kilometer timur laut Islamabad. - Gambar AFP

ISLAMABAD: Berbanding berseronok bermain salji, sekurang-kurangnya 21 maut dalam kesesakan jalan raya teruk apabila puluhan ribu pelawat berduyun-duyun ke sebuah pekan bukit Pakistan untuk menyaksikan penurunan salji tebal luar biasa, kata pihak berkuasa kelmarin.

Polis melaporkan sekurang-kurangnya enam mati beku dalam kereta mereka manakala yang lain dipercayai mati akibat sesak nafas terhidup asap kenderaan.

Menteri Dalam Negeri Sheikh Rashid menyatakan anggota tentera telah dikerahkan untuk mengawal jalan raya dan menyelamatkan ribuan orang yang masih terperangkap berhampiran Murree, kira-kira 70 kilometer di timur laut bandar utama Islamabad.

Rakaman video yang dikongsikan dalam media sosial menunjukkan beberapa kereta padat dengan penumpang dengan timbunan salji setebal satu meter di atas bumbung kereta.

“Penduduk sedang berdepan dengan satu situasi yang sangat sukar,” Usman Abbasi, seorang pelancong yang terperangkap di pekan di mana salji tebal masih lagi turun, memberitahu AFP melalui panggilan telefon.

Selama beberapa hari, media sosial Pakistan dipenuhi dengan gambar dan video yang menunjukkan orang ramai bermain salji di sekitar Murree, sebuah pekan peranginan indah yang dibina penjajah British pada abad ke-19 sebagai sebuah sanitarium bagi pasukan tentera.

Pejabat ketua menteri wilayah Punjab menyatakan Murree telah disahkan sebagai sebuah kawasan bencana dan menggesa penduduk agar menjauhinya.

Perdana Menteri Imran Khan menyatakan beliau terkejut dan sedih dengan tragedi tersebut.

“Penurunan salji yang tidak djangka dan orang ramai yang berpusu-pusu tanpa memeriksa keadaan cuaca yang melanda daerah itu langsung tidak membuat sebarang persediaan.

“Kami telah mengarahkan siasatan dan menetapkan peraturan tegas bagi memastikan tragedi sebegini tidak berulang,” menurut ciapan beliau.

Pihak berkuasa memberikan amaran pada hujung minggu lepas bahawa terlalu banyak kenderaan cuba untuk memasuki Murree, namun gagal untuk mencegah gerombolan pengunjung harian dari ibu negara.

“Bukan sahaja pelancong, malah penduduk tempatan juga menghadapi masalah teruk,” pelancong Abbasi memaklumkan AFP.

"Tong gas telah kehabisan dan air minuman tidak terdapat di kebanyakan kawasan, sama ada beku atau paip telah rosak akibat keadaan terlampau sejuk.”

Beliau menyatakan hotel-hotel di pekan itu telah kehabisan makanan dan perkhidmatan telefon bimbit tidak stabil.

Pekan tersebut yang mempunyai kira-kira 30,000 penduduk terletak di tepi bukit curam dan lembah serta dihubungkan dengan jalan raya sempit yang sering kali sesak walaupun dalam keadaan cuaca baik.

Sheikh Rashid menyatakan penduduk telah menumpangkan orang yang terperangkap di pekan itu serta memberikan selimut dan makanan kepada mereka yang dapat dihubungi di luar pedalaman.

Pihak berkuasa menyatakan sekolah dan bangunan kerajaan telah menerima mereka yang boleh sampai ke pekan itu dari jalan yang sesak tersebut.

Beberapa helikopter juga sudah bersedia untuk menyelamatkan mangsa ketika keadaan cuaca lebih baik.

Rescue 1122,  badan perkhidmatan kecemasan Pakistan, mengeluarkan senarai menamakan 21 orang yang disahkan meninggal dunia.

Ini termasuk seorang anggota polis, isteri dan enam anak mereka.

Hasaan Khawar, jurucakap kerajaan negeri Punjab, menyatakan kesemua mangsa mati beku dalam kereta mereka yang terperangkap. – AFP
 

Advertisement