Anda di sini

Proses kelulusan pengiklanan umrah, ziarah ditangguh

Advertisement
 

PUTRAJAYA: Proses kelulusan pengiklanan pakej umrah atau ziarah ditangguhkan mulai 8 Jan, kata Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) hari ini.

MOTAC dalam kenyataan berkata ia adalah kerana tarikh penerbangan, yang merupakan syarat wajib dalam pengiklanan, tidak boleh ditentukan susulan keputusan kerajaan untuk menangguh sementara kebenaran perjalanan mengerjakan umrah bermula 8 Jan bagi membendung penularan varian Omicron COVID-19.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dalam sidang media pada 1 Jan lepas berkata kerajaan memutuskan untuk menangguhkan sementara kebenaran perjalanan mengerjakan ibadah umrah bermula 8 Jan bagi membendung penularan varian Omicron COVID-19.

Penangguhan itu adalah susulan kebimbangan terhadap penularan varian berkenaan akibat ketidakpatuhan jemaah umrah kepada prosedur kuarantin kediaman masing-masing yang menyebabkan berlakunya jangkitan dalam kalangan ahli keluarga.

MOTAC berkata kementerian itu berusaha untuk mencari penyelesaian terbaik dalam meringankan impak terhadap syarikat pengendali umrah yang berdaftar di bawah MOTAC yang terkesan serta terjejas perancangan berikutan pengumuman penangguhan ibadah umrah itu.

MOTAC berkata ia akan bekerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Kementerian Kesihatan (KKM) dan persatuan agensi pelancongan bagi menambah baik prosedur operasi standard (SOP) umrah untuk kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya lebih sesuai dengan keperluan semasa dalam menangani ancaman penularan COVID-19.

Berhubung dakwaan terdapat sebilangan jemaah umrah yang didapati tiada rekod vaksinasi, MOTAC berkata kementerian itu dan agensi pengendali umrah yakin perkara berkenaan dapat diselesaikan menerusi siasatan yang sedang dijalankan KKM.

Khairy pada 6 Jan berkata KKM telah mengesan sejumlah 17 daripada 122 individu yang dijangkiti varian Omicron setakat 4 Jan lepas didapati tidak mempunyai rekod vaksinasi COVID-19. - Bernama 

Advertisement