Anda di sini

Malaysia perlu bina lebih banyak infrastruktur digital, rapatkan jurang digital 

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu membina lebih banyak infrastruktur digital dan merapatkan jurang digital, memberi tumpuan kepada pembinaan kapasiti dan amalan terbaik, membangunkan pekerja mahir dan memastikan penyertaan yang adil dalam zon perdagangan digital untuk mengukuhkan kedudukannya dalam rantaian nilai global (GVC).

Pusat ASEAN-Jepun (AJC) telah mengeluarkan Kertas 6 untuk siri “Rantaian Nilai Global di ASEAN” yang mengkaji Malaysia, mendapati dasar negara untuk meningkatkan rantaian nilai telah membawa kepada kurangnya kebergantungan kepada input asing dan lebih banyak penggunaan produk Malaysia dalam eksport negara lain, kebanyakannya untuk bahagian dan komponen peralatan elektrik dan elektronik.

“Ini akan membolehkan perniagaan kecil dan sederhana berkembang maju dan menyumbang kepada GVC dan rantaian nilai serantau,” katanya dalam kenyataan.

Katanya nilai tambah yang digabungkan dalam eksport negara lain meningkat kepada 29 peratus pada 2019 daripada 18 peratus pada 1995, merupakan petunjuk positif bahawa Malaysia telah beralih secara berperingkat daripada aktiviti nilai tambah yang rendah kepada fungsi nilai tambah yang lebih tinggi.

Penglibatan Malaysia dalam GVC telah meningkatkan jumlah eksport dan pengeluarannya secara keseluruhan dan kajian itu menunjukkan bahawa sebelum 1995, Malaysia lebih khusus dalam pemasangan akhir atau peringkat pengeluaran akhir hampir kepada peringkat pertengahan GVC dan sekali gus cenderung untuk menghasilkan nilai tambah yang rendah.

Malaysia telah menjadi penyumbang komponen dan subsistem elektrik dan elektronik serta penyedia perkhidmatan perniagaan yang penting di peringkat serantau dan global dengan memanfaatkan input dan kapasiti domestiknya.

“Bahagian nilai tambah asing dalam eksport telah merosot kepada 36 peratus pada 2019 berbanding 39 peratus pada 1990.

“ASEAN, China, Jepun dan Amerika Syarikat merupakan rakan perdagangan dan pelaburan yang menyumbang dengan ketara kepada nilai tambah asing Malaysia dalam eksport,” katanya. - BERNAMA

Advertisement