Anda di sini

Mata wang negara-negara ASEAN termasuk ringgit dijangka catatk prestasi baik tahun ini 

Advertisement
Gambar hiasan Bernama
Gambar hiasan Bernama

KUALA LUMPUR: Mata wang negara-negara ASEAN termasuk ringgit dijangka mencatatkan prestasi baik tahun ini selepas aliran menurun berbanding dolar AS tahun lepas, kata Credit Suisse.

“Walaupun pertumbuhan kukuh boleh memberi tekanan kepada bil import, akaun semasa seharusnya kekal kukuh bagi kebanyakan pasaran ASEAN,” katanya dalam laporan Tinjauan Strategi Pasaran ASEAN 2022.  

Credit Suisse berkata Malaysia berada di kedudukan kedua dalam kad skor Asia Pasifiknya dan pertama dalam penilaian. Negara memiliki potensi mata wang manakala ringgit mempunyai ciri-ciri kukuh pada metrik mata wang. 

“Ia mempunyai kadar pertukaran efektif sebenar kedua terendah di rantau ini, berbanding sejarah baru-baru ini, dan ringgit mencatatkan prestasi rendah berbanding kenaikan harga minyak,” kata bank pelaburan itu.

Namun bagi sisi negatif, Malaysia kekurangan potensi struktur seperti yang ada di Indonesia dan Filipina dan keadaan politiknya masih lagi agak kompleks, kata Credit Suisse.

Sementara itu, katanya, walaupun sesetengah pelabur mungkin merasa bimbang dengan kenaikan kadar Rizab Persekutuan Amerika Syarikat namun ia percaya rantau ASEAN kini memiliki dinamik baharu.

“Kami percaya ASEAN kini didorong oleh pertumbuhan dan tidak lagi sensitif kepada turun naik kadar,” katanya. 

Mengenai keluaran dalam negara kasar, Credit Suisse berkata ASEAN 4 - Thailand, Filipina, Indonesia dan Malaysia - merupakan satu-satunya ekonomi di Asia yang dijangka mencatatkan pertumbuhan tahun ini.

Berkaitan penularan varian baharu COVID-19, Omicron, bank pelaburan itu tidak menjangkakan rantau ini akan mengenakan langkah sekatan pergerakan yang ketat sama seperti sebelum ini. - BERNAMA 
 

Advertisement