Anda di sini

6 maut akibat banjir, tanah runtuh di Papua, Indonesia

Advertisement
 

JAKARTA: Sekurang-kurangnya enam orang maut dan lebih 500 penduduk terpaksa meninggalkan rumah mereka selepas banjir teruk dan tanah runtuh di Wilayah Papua, menurut Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB).

Ibu kota wilayah itu, Bandar Jayapura, menjadi antara kawasan yang paling teruk dilanda banjir, termasuk daerah Jayapura Utara, Jayapura Selatan, Abepura, Heram dan Muara Tami.

“Hujan renyai masih membasahi Abepura,” kata jurucakap BNPB Abdul Muhari dalam satu kenyataan, sambil menambah bahawa banjir yang disebabkan oleh hujan lebat turun selama berjam-jam mulai 10 malam pada Khamis.

Beberapa rumah, hospital dan bangunan awam semuanya terjejas dan penduduk berpindah dengan sebuah trak dan tiga bot getah.

Sementara itu, angin ribut membadai daerah Aceh Tenggara, Wilayah Aceh, merosakkan 29 rumah, kemudahan awam dan dua gereja. Ia melanda Kampung Lawe Sagu Hulu, Kampung Mbacang Racun di Daerah Lawe Bulan, dan Kampung Tenembak Lang-lang di Daerah Deleng Pokhkison.

Terkini, banjir juga menenggelamkan kawasan di wilayah Aceh, Jambi dan Sumatera Utara menyebabkan kira-kira 20,000 orang kehilangan tempat tinggal mereka. - BERNAMA
 

Advertisement