Anda di sini

BSN sasar bantu 85,000 usahawan mikro tahun ini

Advertisement
Gambar hiasan Bernama
Gambar hiasan Bernama

KUALA LUMPUR: Bank Simpanan Nasional (BSN) menyasar untuk membantu 85,000 usahawan pada 2022 dalam usaha mengembalikan keupayaan perniagaan, terutama usahawan mikro, yang terjejas akibat pandemik COVID-19 dan bencana banjir.

Ketua Pegawai Perniagaan, Mujibburrahman Abd Rashid berkata daripada jumlah tersebut, dijangkakan 25,000 usahawan dibantu menerusi Skim Semarak Niaga Keluarga Malaysia (SemarakNiaga), manakala 60,000 usahawan lagi akan menerima manfaat melalui Geran Padanan Digital.

“Kita telah melihat perusahaan mikro merupakan antara sektor yang terawal bangkit semula setelah semua sektor ekonomi dibuka dan sekatan perjalanan antara negeri ditarik balik.

“Saya yakin lebih ramai usahawan mikro yang memerlukan bantuan untuk melonjakkan kembali perniagaan mereka kepada paras sebelum pandemik atau lebih baik daripada yang pernah direkodkan sebelum ini,” katanya kepada Bernama dalam temu bual khas baru-baru ini.

Pada tahun lepas, BSN telah membantu 88,000 usahawan mikro, melalui kombinasi skim pembiayaan terdahulu iaitu melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dan Program Strategik Memperkasa Rakyat (PEMERKASA), serta Geran Padanan Digital.

Mujibburrahman berkata mengenai SemarakNiaga pula, permohonan boleh dilakukan mulai bulan ini.

Antara kriteria kelayakan ialah pemohon merupakan usahawan mikro, sama ada pemilikan tunggal, perkongsian ataupun sendirian berhad milik warganegara Malaysia, katanya.

Beliau berkata syarikat tersebut juga harus berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia atau pihak berkuasa tempatan dan telah beroperasi tidak kurang daripada enam bulan.

“Sebagai sebuah institusi yang dimandatkan oleh Kementerian Kewangan untuk membantu sektor usahawan mikro negara, BSN menawarkan pembiayaan ini pada kadar 4.0 peratus, iaitu pada kadar yang kompetitif.

“Selain itu, BSN turut mengurangkan keperluan dokumentasi bagi memudahkan pemohon. Saya yakin, SemarakNiaga akan mendapat sambutan yang amat menggalakkan,” katanya.

Program SemarakNiaga yang melibatkan pakej pembiayaan dengan nilai keseluruhan RM40 bilion itu diumumkan oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz ketika membentangkan Bajet 2022 di Parlimen pada 29 Okt, 2021.

Menerusi SemarakNiaga, pembiayaan kredit mikro bernilai hampir RM1.8 bilion akan disediakan melalui pelbagai agensi seperti BSN, TEKUN, Agrobank, Bank Rakyat dan Bank Negara Malaysia.

Mujibburrahman juga berkata BSN terus komited memperkasakan mandatnya untuk memastikan rakyat Malaysia mendapat akses perbankan yang menyeluruh terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman di Sabah dan Sarawak menerusi inisiatif Cawangan Bank Bergerak (CBB).

Beliau berkata melalui CBB, masyarakat yang tinggal di pedalaman berupaya memiliki akses kepada pelbagai perkhidmatan perbankan seperti transaksi pengeluaran wang tunai melalui Mesin Teler Automatik (ATM), pembukaan akaun dengan Kad Debit BSN, simpanan tunai, pembelian BSN Sijil Simpanan Premium (BSN SSP), pembayaran bil-bil utiliti, dan tambah nilai.

CBB BSN Sarawak telah mula beroperasi pada 15 Julai, 2021 di Sungai Asap dan Sebauh, manakala CBB BSN Sabah mula operasi pada 12 Okt, 2021 di Pitas, Paitan, Sook, Nabawan, Kalabakan dan Tungku.

“Sambutan yang diterima amat mengalakkan. Jumlah urusan deposit yang diterima daripada CBB Sarawak dan CBB Sabah sehingga 9 Dis, 2021 adalah sebanyak RM235,554 yang melibatkan 1,548 transaksi.

“Kami menjangkakan peningkatan bagi pertumbuhan bersih deposit bagi 2022 sebanyak 12 peratus daripada aktiviti perbankan melalui CBB,” katanya.

Beliau menjelaskan sasaran itu, bagaimanapun, bergantung kepada situasi semasa pandemik COVID-19 serta arahan lanjut oleh pihak Majlis Keselamatan Negara serta pihak penguasa tempatan.

Mujibburrahman berkata secara kesuluruhan setakat 30 Nov, 2021, jumlah penyimpan BSN adalah sebanyak 9.11 juta. - BERNAMA
 

Advertisement