Anda di sini

Aplikasi teknologi kewangan Sarawak, S Pay Global catat transaksi bernilai RM1.8 bilion

Advertisement
Gambar hiasan
Gambar hiasan

KUCHING: Platform mudah alih teknologi kewangan (fintech) yang dibangunkan oleh kerajaan Sarawak, S Pay Global, kini berkembang pesat dengan mencatatkan 590,290 pengguna berdaftar dan 85,445 peniaga di seluruh negeri di samping merekodkan transaksi bernilai RM1.8 bilion sejak dilancarkan pada 2017.

Pengurus Besar Lembaga Multimedia Sarawak (SMA), Dr Zaidi Razak berkata jumlah pengguna S Pay Global telah meningkat secara ketara semasa tempoh pandemik COVID-19 memandangkan usahawan dan orang ramai memilih transaksi tanpa tunai.

“Selain itu, menerusi penyelesaian S Pay Global, kerajaan Sarawak dapat menyalurkan bantuan kewangan, Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) kepada warga Sarawak yang layak semasa tempoh pandemik,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

S Pay Global (sebelum ini dikenali sebagai Sarawak Pay), merupakan e-dompet Sarawak -- satu inisiatif oleh kerajaan negeri untuk memperkasakan agenda ekonomi digital.

Zaidi berkata S Pay Global juga bekerjasama dengan Bank Simpanan Nasional (BSN) untuk menyediakan perkhidmatan transaksi dalam talian kepada penduduk yang tinggal di luar bandar menerusi ejen lantikan bank.

“Pengguna S Pay Global di kawasan luar bandar yang tidak mempunyai akses kepada mana-mana institusi kewangan boleh menerima dan menghantar wang kepada ahli keluarga, rakan-rakan dan rakan kongsi perniagaan mereka melalui e-dompet menerusi mana-mana 236 ejen bank BSN di negeri ini,” katanya.

SMA ialah agensi utama dalam memacu ekonomi digital Sarawak, menerajui, menyelia dan memudahkan pembangunan dan pelaksanaan inisiatif komunikasi, multimedia dan ekonomi digital.

Ia adalah cetusan idea Ketua Menteri Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang mahu Sarawak maju sebagai ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2030 melalui ekonomi digital.

Inisiatif SMA yang lain termasuk Permohonan Dalam Talian untuk Masuk dan Keluar Sarawak serta Borang Pengisytiharan Kesihatan elektronik (eHDF), yang membantu kerajaan negeri mengawal pelancong yang masuk ke Sarawak bagi mengekang penularan COVID-19.

SMA juga telah membangunkan i-Alerts, aplikasi mudah alih komunikasi dan maklumat bencana rasmi Sarawak untuk memastikan rakyat Sarawak sentiasa dimaklumkan mengenai situasi COVID-19 terkini di negeri ini.

“Aplikasi iAlert juga membantu negeri membetulkan berita palsu yang disiarkan dalam media sosial dan menyebarkan berita yang tepat kepada orang ramai semasa krisis ini,” katanya. - BERNAMA

Advertisement