Anda di sini

Pertempuran ganas di Colombia ragut 23 nyawa

Advertisement

Orang awam kemungkinan antara kematian akibat perbalahan antara ELN dan FARC itu: Duque

 Gambar serahan Pejabat Presiden Colombia menunjukkan Duque (tengah) bercakap pada penghujung mesyuarat majlis keselamatan untuk meminta pasukan tentera bantuan dikerah ke Aracua, di sempadan dengan Venezuela selepas pertempuran antara ELN dan FARC mengorbankan banyak nyawa di Cartagena, Colombia kelmarin. — Gambar AFP 
PENGUMUMAN: Gambar serahan Pejabat Presiden Colombia menunjukkan Duque (tengah) bercakap pada penghujung mesyuarat majlis keselamatan untuk meminta pasukan tentera bantuan dikerah ke Aracua, di sempadan dengan Venezuela selepas pertempuran antara ELN dan FARC mengorbankan banyak nyawa di Cartagena, Colombia kelmarin. — Gambar AFP 

BOGOTA: Sekurang-kurangnya 23 orang terkorban dalam pertempuran antara kumpulan pemberontak yang bermusuhan di wilayah sempadan Colombia dengan Venezuela, menurut pihak berkuasa kelmarin.


“Orang awam kemungkinan antara kematian akibat perbalahan antara anggota kumpulan gerila terakhir yang terkenal di Colombia, ELN, dan penentang dari pergerakan pemberontak FARC,” kata Presiden Ivan Duque.

“Kami menemui 23 mayat di kawasan pedalaman di daerah timur laut Arauca,” kata timbalan menteri pertahanan Jairo Garcia, tanpa menyebut mengenai kematian orang awam.

Duque mempersalahkan rakan sejawatnya Nicolas Maduro kerana melindungi pemberontak Colombia di bahagian Venezuela di sempadan negara sepanjang 2,200 kilometer.

“Pejuang Tentera Pembebasan Negara (ELN) dan Angkatan Bersenjata Revolusioner Colombia (FARC) yang menolak perjanjian damai pada 2016 telah beroperasi di wilayah Venezuela dengan kebenaran dan perlindungan dari rejim diktator tersebut,” menurut presiden.

Ombudsman Colombia Carlos Camargo berkata, 12 keluarga terpaksa melarikan diri dari pertempuran di perbandaran Tame dan Saravena di bahagian Arauca.
Pihak berkuasa tempatan melaporkan bahawa sebahagian daripada komuniti telah terperangkap dalam pertempuran.

Pengarah Pemerhati Hak Asasi Manusia dari Amerika, Jose Miguel Vivanco, menyatakan di Twitter kelmarin bahawa situasi di sempadan adalah “sangat serius”.
Colombia sering kali menuduh negara jirannya melindungi pemberontak.


Kedua-dua negara tersebut memutuskan hubungan diplomatik sejurus selepas Duque mengambil alih sebagai presiden daripada Juan Manuel Santos pada Ogos 2018, dua tahun selepas satu perjanjian damai menamatkan konflik dalaman selama hampir enam dekad.

Keganasan telah meningkat di Colombia meskipun perjanjian damai menyaksikan kira-kira 13,000 gerila FARC meletakkan senjata dan menukar dirinya kepada sebuah parti politik minoriti.

Namun penentang berterusan bertempur dengan kumpulan separa tentera, pengedar dadah dan pemberontak untuk kawalan ke atas pengedaran dan pasaran perlombongan haram di negara pengeluar kokain terbesar di dunia itu.

Terdapat kira-kira 2,500 pejuang ELN yang aktif dan lebih 5,000 anggota FARC yang beroperasi, majoriti daripada mereka merupakan rekrut baharu. — AFP

Advertisement