Anda di sini

PMI pembuatan Malaysia meningkat kepada 52.8 pada Disember

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Indeks Pengurus Pembelian (PMI) IHS Markit yang juga petunjuk tunggal komposit bagi prestasi pembuatan, meningkat kepada 52.8 pada Disember 2021 daripada 52.3 dalam bulan sebelumnya yang memaparkan peningkatan kukuh sektor terbabit.

Berikutan itu, prestasi purata bagi suku akhir berkenaan merupakan suku paling kukuh sejak tinjauan itu dimulakan pada 2012, kata IHS Markit dalam nota penyelidikannya hari ini.

Menurutnya, berdasarkan kaitan antara PMI dan statistik rasmi, angka terbaharu itu menjadi petunjuk dari segi pengembangan kukuh pengeluaran pembuatan dan keluaran dalam negara kasar (KDNK) dengan tinjauan itu turut memaparkan pemulihan meluas daripada impak akibat COVID-19.

“Data Disember itu menunjukkan peningkatan output bagi bulan ketiga. Tahap pengembangannya adalah sederhana namun terpantas sejak April lepas. Kalangan syarikat atau firma menyifatkan pengukuhan ini didorong oleh peningkatan permintaan berikutan kelonggaran sekatan akibat pandemik tersebut.

“Jumlah tempahan baharu turut meningkat pada akhir 2021 dengan kadar pertumbuhan mencecah paras tertinggi dalam tempoh lapan bulan.

“Firma-firma itu berkata peningkatan keyakinan pelanggan juga telah mendorong permintaan di peringkat pasaran domestik mahupun luar. Pada masa sama, jualan eksport baharu telah kembali ke paras pengembangan pada Disember berikutan pengukuhan permintaan di Amerika Syarikat (AS) dan China yang turut menyumbang kepada kenaikan dalam perniagaan baharu dari luar negara,” katanya.

Ahli Ekonomi IHS Markit Usamah Bhatti berkata kelonggaran sekatan akibat COVID-19 itu telah mengurangkan tekanan yang dihadapi oleh sektor pembuatan Malaysia selain membantu dari segi memacu momentum pertumbuhan pada Disember 2021.

“Bacaan purata PMI utama bagi suku keempat itu adalah prestasi suku tahunan paling kukuh dicatatkan sejak tinjauan itu dimulakan pada Julai 2012 dengan pertumbuhan output dan tempahan baharu masing-masing mencecah paras tertinggi dalam tempoh lapan bulan.

“Namun, persekitaran operasi kekal mencabar berikutan isu kelewatan rantaian bekalan selain kekurangan pekerja yang dilaporkan melibatkan keseluruhan sektor itu,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, apa yang menggalakkan adalah unjuran perniagaan bagi tahun ini secara keseluruhannya kekal kukuh dengan satu perlima syarikat menyuarakan optimis bahawa situasi terburuk pandemik itu telah berakhir.

“Tahap optimis itu mereda pada November apabila prospek (prestasi) terus dibayangi ketidaktentuan akibat tempoh gangguan membabitkan rantaian bekalan, kekurangan bahan mentah serta impak akibat varian baharu COVID-19,” katanya. - BERNAMA
 

Advertisement