Anda di sini

Elak turun ke laut ketika ini

Advertisement
Gambar hiasan
Gambar hiasan

KUCHING: Nelayan bot kecil disarankan untuk tidak turun ke laut buat masa ini kerana keadaan laut ketika ini dilihat berbahaya. 

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Zin berkata, situasi ini sekali gus boleh menyebabkan ancaman nyawa dan juga harta benda kepada mereka. 

Jelasnya, saranan itu berikutan kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Metereologi Malaysia pada hari ini berhubung amaran angin kencang timur laut berkelajuan 40-50 kilometer per jam (kmsj) dan laut bergelora dengan ketinggian ombak 3.5 meter dijangka di kawasan perairan Sarawak (kategori pertama). 

"Ini menyebabkan keadaan angin kencang dan laut bergelora yang boleh membahayakan bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut. 

"Fasa Monsun Timur Laut yang bermula pada 3 November 2021 dijangka berterusan sehingga Mac 2022 menyebabkan tiupan angin yang lebih kencang beserta hujan lebat dan berterusan dari arah timur laut. 

"Sehubungan itu, komuniti maritim di perairan negeri ini perlu sentiasa peka akan keadaan cuaca serta keselamatan sekiranya turun ke laut oleh kerana cuaca tidak menentu ketika ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Tambah Azman, bagi untuk sektor perkapalan, angin kencang timur laut melebihi 60kmsj dengan ombak setinggi melebihi 4.5meter (kategori ketiga) dijangka di kawasan perairan laut. 

"Keadaan ini memberi kesan buruk kepada semua aktiviti pantai, perkapalan, menangkap ikan termasuk pekerja di pelantar minyak dan perkhidmatan feri," jelasnya.

Sehubungan itu, katanya Maritim Malaysia menggesa komuniti maritim batalkan niat ke laut pada masa ini. 

"Sekiranya keadaan mendesak untuk ke laut, utamakan keselamatan dengan sentiasa memakai jaket keselamatan, merujuk ramalan kaji cuaca, memastikan bot dan kapal dalam keadaan selamat memandangkan keadaan cuaca di laut pada masa ini yang kurang baik," katanya lagi. 

Tambahnya, komuniti maritim juga perlu bawa bersama peranti pengesan peribadi (PLB) supaya membantu mempercepatkan bantuan serta berlaku sebarang kecemasan di laut. 

Komuniti juga boleh menghubungi terus talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Negeri Sarawak ditalian 082-432544/ 082-432006 yang beroperasi 24 jam. 
 

  • oleh
  • Advertisement