Anda di sini

Terima kasih tetapi saya sudah ada parti baharu, kata Peter

Advertisement
PETER
PETER

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Peter Anthony akan teruskan halatuju politiknya dengan parti baharu yang ditubuhkannya.

"Terima kasih atas kepercayaan dan pelawaan itu tetapi kami sudah tubuhkan parti politik yang akan menjadi landasan untuk kami sama-sama menyumbang kemajuan Sabah. Parti baharu ini akan diumumkan dalam masa terdekat," katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata demikian sebagai respon terhadap pelawaan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan kepada Peter dan ADUN Limbahau, Datuk Juil Nuatim menyertai STAR.

Jeffrey yang juga Timbalan Ketua menteri membuat pelawaan itu selepas Peter dan Juil mengumumkan keluar dari WARISAN dan akan menubuhkan parti baharu mesra kerajaan Gabungan Rakyat Sabah pimpinan Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor pada Selasa lalu (28 Disember 2021).

Apapun, Peter yang juga bekas Naib Presiden WARISAN mengalu-alukan kesatuan pemimpin-pemimpin KDMR dan percaya gabungan parti tempatan akan menjadi pilihan rakyat Sabah sebagaimana yang berlaku dalam pilihanraya di Sarawak baru-baru ini.

"Sebenarnya, usaha kami sekarang juga adalah permulaan dalam menyatukan semua pemimpin KDMR yang selama ini terpisah dengan fahaman politik masing masing. 

"Kami akan terus berbincang untuk dapatkan satu solusi penyatuan bukan sahaja dalam kalangan permimpin politik KDMR tetapi semua pemimpin Sabah," katanya.

Menurutnya, sudah sampai masanya untuk semua berpadu dan bersama dalam satu gabungan yang fokus kepada kemajuan Sabah.

"Marilah kita berganding bahu...yang lepas tu lepaslah. Fokus kepada kemajuan Sabah. Kita berusaha dan berdoa  agar menerusi `pisompuruan' (kesatuan), Sabah akan maju jaya," katanya.
 

Advertisement