Anda di sini

MOTAC lanjut pengecualian fi lesen pengusaha dan pemandu pelancongan

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bersetuju melanjutkan pengecualian fi pembaharuan lesen serta lesen tambahan bagi pengusaha pelancongan dan pemandu pelancong yang memohon pembaharuan lesen bermula 1 Januari hingga 30 Jun 2022.

MOTAC dalam kenyataan hari ini memaklumkan keputusan itu bagi membantu penggiat industri pelancongan yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Pelanjutan pengecualian fi itu turut diberikan kepada pengusaha pelancongan dan pemandu pelancong yang belum mendapat kelulusan pembaharuan lesen dan telah mendapat keputusan pembaharuan lesen namun tidak dapat membuat bayaran fi lesen disebabkan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“MOTAC berharap pengusaha pelancongan dan pemandu pelancong mengambil peluang untuk membuat permohonan pembaharuan dalam tempoh ditetapkan mengikut tarikh tamat lesen masing-masing bagi memastikan pengecualian ini dapat dinikmati.

“Kementerian turut menyeru semua pengusaha pelancongan dan pemandu pelancong yang terlibat untuk membuat pembaharuan lesen dalam tempoh ditetapkan bagi memastikan pematuhan kepada perundangan sedia ada,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, pengecualian fi pembaharuan lesen hingga 30 Jun tahun depan melibatkan 2,219 buah syarikat pengusaha pelancongan yang berjumlah RM1,646,100.

Sebelum ini, MOTAC telah memberi pengecualian fi pembaharuan lesen dan lesen tambahan bagi pengusaha pelancongan dan pemandu pelancong yang memohon pembaharuan lesen bermula 1 Jan hingga 30 Jun 2021 dan seterusnya pada 1 Julai hingga 31 Disember 2021. - BERNAMA
 

Advertisement