Anda di sini

Rangnick, Klopp ambil berat berkaitan taraf vaksinasi pemain

Advertisement
 

LONDON: Pengurus sementara Manchester United, Ralf Rangnick (gambar) menyokong kebimbangan rakan sejawatannya di Liverpool, Jurgen Klopp tentang mendapatkan pemain yang tidak mendapat vaksin COVID-19.

Klopp begitu lantang dengan menegaskan pemain seharusnya mendapat suntikan vaksin ekoran peningkatan kes COVID-19 dalam Liga Perdana disebabkan varian Omicron.

Klopp ada berkata, dia akan berfikir dua kali untuk mendapatkan pemain yang tidak divaksin dan Rangnick sekarang juga menyuarakan kebimbangan yang sama dan potensinya ke atas sebarang urusan perpindahan pemain pada pasaran perpindahan pemain bulan Januari depan.

“Saya fikir ia boleh menjadi pertimbangan dan saya benar-benar faham apa yang dimaksudkan oleh Jurgen,” kata Rangnick.

“Ini adalah satu isu serius yang harus difikirkan oleh kelab. Jika anda mendapatkan seorang pemain dengan menyedari bahawa dari hari pertama dia tidak divaksin, anda harus menyedari dia mungkin tidak akan dapat diturunkan. Bukan untuk 10 hari tetapi mungkin dengan kerap pada masa COVID ini,” katanya.

Rangnick merujuk ketiadaan pemain Bayern Munich, Joshua Kimmich sebagai bukti bahawa pemain tidak divaksin harus mendapatkan suntikan vaksin secepat mungkin.

Kimmich yang berkata, pada bulan Oktober bahawa dia tidak divaksin untuk COVID-19, mengalami masalah paru-paru ekoran  jangkitan COVID-19 dan menyebabkannya tidak beraksi sehingga tahun baharu.

“Anda mempunyai contoh jelas, Joshua Kimmich, yang sangat keberatan pada awalnya dan saya fikir buat masa ini, dia menyedari ia mungkin bagus untuk mendapat vaksin,” kata Rangnick.

“Dia mendapat jangkitan COVID-19 dan masih mempunyai masalah dengan paru-parunya.

“Saya fikir ini adalah satu isu di mana sudah tentu semua orang boleh, dan semua orang mempunyai hak masing-masing tetapi dalam bola sepak, terutama sekali di peringkat tertinggi, kami cuba meyakinkan pemain untuk mendapat vaksin.

“Seperti yang saya katakan, ia bukan hanya berlaku sekali, ia boleh beberapa kali di masa hadapan dan kerana itu ia seharusnya dalam kepentingan pemain untuk divaksin.

“Tetapi pada akhirnya, ia keputusan yang harus diambil setiap kelab dan mencari penyelesaian terbaik.”

Kali terakhir United beraksi ialah pada 11 Disember, menang 1-0 di Norwich yang menyaksikan Rangnick meraih  kemenangan kedua berturut-turut sejak membimbing kelab Old Trafford sehingga akhir musim.

Dia yakin United boleh meneruskan rentak walaupun pusat latihan mereka di Ca-rrington ditutup selama empat hari ekoran penularan kes COVID-19. ― AFP

Advertisement