Anda di sini

Miri FA sasar ke pentas final

Advertisement
Lee memberi kata-kata semangat kepada para pemain Miri FA yang akan berangkat ke Bintulu bagi perlawanan peringkat kedua Liga SSC-FAS.
Lee memberi kata-kata semangat kepada para pemain Miri FA yang akan berangkat ke Bintulu bagi perlawanan peringkat kedua Liga SSC-FAS.

MIRI: Pasukan Miri FA menyasarkan mara ke peringkat akhir Liga Perbadanan Sukan Sarawak (SSC)-Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) 2021 yang berlangsung di Bintulu.

Presiden Miri FA, Nazri Ahmad Lai berkata Miri FA sudah melepasi peringkat kumpulan sekali gus mara ke peringkat kedua membabitkan enam pasukan terbaik dari seluruh Sarawak.

“Selain Miri FA turut mara ke peringkat kedua ialah Samarahan FA, Sarawak United II FC, Kapit FA, Sri Aman FA dan Bintulu FA. Harapan kita ialah melangkah ke pentas akhir,” katanya kepada Utusan Borneo di sini semalam.

Nazri berkata, meskipun liga ini kali pertama dianjurkan namun saingan daripada pasukan-pasukan bertanding amat kuat dan masing-masing mempunyai kelebihan.

“Kita mengharapkan agar Miri FA melepasi saingan pada peringkat kedua sekali gus mara ke pentas akhir dan membawa pulang trofi kemenangan ke bandar raya Kuda Laut,” jelasnya.

Liga Bola Sepak SSC-FAS bermula pada Mac lalu ditangguhkan pada Mei susulan penularan COVID-19. Pertandingan ini disertai sebanyak 11 pasukan bawah umur 25 tahun.

Liga tersebut dibahagikan kepada tiga zon terdiri 11 pasukan meliputi Zon Selatan iaitu Kuching City FC, Serian FA, Samarahan FA, Sarawak United ll FC (Piala Presiden).

Sementara Zon Tengah terdiri Sri Aman FA, Sarikei FA, Sibu FA dan Kapit FA sementara bagi Zon Utara meliputi Mukah FA, Bintulu FA dan Miri FA.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin turut meluangkan masa bertemu dengan pemainpemain Miri FA yang akan berangkat ke Bintulu.

“Saya mengucapkan tahniah kepada Miri FA kerana layak ke peringkat seterusnya dan harapan kita agar mereka bermain dalam satu pasukan dan pulang membawa kejayaan,” katanya.

Pasukan Miri FA di bawah kendalian Ketua Jurulatih Bawah 25, Anuar Ahmad dan Pengurusnya, Sonie Sekan.

Advertisement