Anda di sini

BAM perlu pascanilai kejohanan berturut-turut jejaskan prestasi pemain

Advertisement
 
JOHOR BAHRU: Penyertaan skuad badminton kebangsaan dalam kejohanan yang berturut-turut wajar dinilai semula oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kerana dilihat boleh menjejaskan prestasi sebenar pemain malah lebih teruk lagi, daya ketahanan pemain itu sendiri.

Bekas pemain nombor satu dunia Roslin Hashim (gambar) sehubungan itu mencadangkan badan induk sukan itu melakukan pascanilai supaya dapat merangka strategi lebih berkesan dalam memastikan prestasi skuad kebangsaan masa kini termasuk pemain nombor satu negara, Lee Zii Jia tidak terjejas teruk.

Beliau berkata secara keseluruhan, prestasi skuad badminton negara tidak menentu sepanjang kira-kira sembilan kejohanan disertai mereka, daripada Piala Sudirman hingga ke Kejohanan Badminton Dunia 2021 yang berakhir minggu lepas.

"Ada yang tidak berapa menunjukkan prestasi baik (pemain) dan ada yang okey, walaupun menang pingat gangsa pada Kejohanan Dunia tetapi secara keseluruhannya, kita nampak prestasi tidak berapa baik. 

"Bagi saya, itu kerana pelbagai faktor dialami pemain kerana menyertai kejohanan berturut-turut yang begitu banyak. Jadi, sudah semestinya akan mengganggu permainan, prestasi mereka," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU ) dengan PS Team Sports Zone di sini hari ini.

Ditanya mengenai prestasi Zii Jia, beliau berkata kedudukan pemain kelahiran Alor Setar, Kedah itu kini di landasan baik dan tersenarai antara 10 pemain terbaik dunia.

"Saya pun tidak tahu apa fokus atau sasaran BAM kepada pemain, sebab kita lihat ranking Zii Jia dah 10 terbaik dunia, kita nak pencapaian, jangan terlalu kejar ranking. Memang orang cakap ranking tinggi harus memilih kejohanan tapi dia (Zii Jia) main semua kejohanan.

"Apa motif BAM? Ini harus diberi tumpuan supaya tidak dilihat terlalu kejar ranking, harus post-mortem (pascanilai)," katanya.

Zii Jia yang merupakan juara All England 2021 terpaksa menarik diri lebih awal pada Kejohanan Dunia baru-baru ini susulan kecederaan pada kaki kanan ketika bertemu pemain Denmark Anders Antonsen, ketika suku akhir.

Roslin berkata kesalahan tidak seharusnya diletakkan 100 peratus di tangan pemain tetapi perlu dilihat semula oleh pihak pengurusan.

Menurutnya jadual pertandingan sememangnya sudah ditetapkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dan BAM perlu peka dengan perkara itu.

Beliau berkata sebelum ini juga, jaguh dunia Datuk Lee Chong Wei tidak bertanding hingga lebih daripada tiga kejohanan secara berturut-turut dan selepas itu berehat untuk mengumpul tenaga dan stamina. 

Sementara itu, Roslin berkata kebergantungan terhadap hanya satu pemain seperti Zii Jia harus dihentikan kerana ramai bakat muda boleh diketengahkan supaya pembangunan akar umbi sukan badminton itu seiring.

"Ng Tze Yong, Aidil Sholeh Ali Sadikin...antara nama-nama yang boleh diketengahkan dan saya harap mereka ini boleh naik seiring dengan Zii Jia," katanya.

Terdahulu, MOU dengan PS Team Sports Zone itu akan memperlihatkan Roslin yang merupakan bekas pemenang pingat emas Sukan SEA 2001 berkongsi pengalamannya sebagai ketua jurulatih untuk program pembangunan sukan badminton bagi kelab berkenaan bagi tempoh tiga tahun.

Setakat ini, PS Team Sports Zone mempunyai 30 pemain yang akan diserapkan kepada tiga tahap kemahiran dari usia tujuh tahun sehingga ke tahap elit. - BERNAMA

Advertisement