Anda di sini

PMNS adakan pemilihan atlet wakili negara pada Sukan SEA Vietnam 2022

Advertisement
 

KUCHING: Kejohanan Sarawak Fighting Championship (SFC) 2021 yang melabuhkan tirainya pada 23 Disember lalu menjadi medan pemilihan atlet Bumi Kenyalang untuk mewakili negara pada temasya SUKAN SEA Vietnam 2022.

Presiden Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS), Jumaat Ibrahim (gambar) berkata pihaknya telah dimaklumkan oleh Persatuan Muaythai Malaysia (PMM) agar mencari atlet yang berminat untuk menjalani saringan awal bagi mewakili negara di kejohanan dwi tahunan itu.

“PMM sedang merangka satu pelan bagi menilai atlit negeri yang berminat untuk disaring dan disenaraikan di bawah senarai awal atlet Muaythai dan Kickboxing SEA Games 2022 Vietnam. 

“PMM mencadangkan agar Persatuan Muaythai Negeri Sarawak mengadakan satu sesi ‘sparring’ untuk pemilihan pertama untuk memilih atlit-atlit yang berpotensi untuk mewakili negara ke temasya sukan ini.

“Justeru, PMNS telah menggunakan Kejohanan Sarawak Fighting Championship ini untuk mengadakan sesi ‘sparring’ bagi mereka yang berminat,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Kata Jumaat, pemilihan atlet dibuat secara berhati-hati dan teliti kerana PMM bukan sahaja mencari atlet yang bagus bagi mengisi kuota tetapi atlet terbaik yang dapat memberikan pingat kepada negara.

Beliau dalam pada itu berpuas hati dengan sesi ‘sparring’ yang diadakan pada Khamis lepas di Kompleks Yayasan Sarawak yang diselaraskan oleh PMNS.

Pemilihan tersebut dinilai oleh Ketua Pengadil, Borhan Budong dan Rosli Yaakop selaku Ketua Panel Jawatankuasa Pemilihan Atlet Sukan SEA 2022.

Sukan SEA Vietnam 2022 akan diadakan pada Mei yang mana temasya kali ini turut mempertandingkan acara muaythai dan kickboxing.

Seperti temasya sebelum ini, kos bagi menghantar atlet ke Sukan SEA ditanggung sepenuhnya oleh persatuan dan bukan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) atau Majlis Olimpik Malaysia (MOM) melainkan atlet mempunyai ranking dunia dan mempunyai pencapaian antarabangsa.
 

Advertisement