Anda di sini

BAM bincang penstrukturan semula esok

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Pelan penstrukturan semula barisan kejurulatihan dan pemain Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dijangka diputuskan esok.

Timbalan Pengarah Kejurulatihan BAM Rexy Mainaky berkata perkara itu akan dibincangkan pada mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) yang dipengerusikan oleh Datuk Kenny Goh.

“Saya tidak boleh komen lebih lanjut kerana Selasa baru ada mesyuarat C&T. Selepas itu baru kami tahu (perincian dan pelan penstrukturan semula),” jawabnya ringkas ketika ditemui selepas majlis penutup kejohanan Purple League Pro-Am 2021 (PLPA), semalam.

Khamis lepas, Presiden BAM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata penstrukturan semula akan dilakukan berikutan prestasi tidak menentu yang ditampilkan skuad kebangsaan pada sembilan kejohanan terakhir bermula dengan Piala Sudirman di Vantaa, Finland, September lepas.

Rexy turut menjelaskan bahawa gandingan pemain beregu campuran Chan Peng Soon, yang merupakan pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 bersama Valeree Siow, belum dimuktamadkan.

“Setakat ini Peng Soon berpasangan dengan Valeree, (tetapi) itu kami masih perlukan masa untuk mereka lebih satu hati, mengerti (memahami) satu sama lain. Gandingan belum muktamad,” kata bekas juara dunia dan Olimpik dari Indonesia itu.

Ditanya mengenai perancangan bagi pemain elit pada tahun depan, beliau berkata kempen 2022 dijangka bermula dengan siri kejohanan di Eropah menerusi Terbuka Jerman dari 8-13 Mac, All England (16-20 Mac) dan Terbuka Switzerland (22-27 Mac), sebelum beralih ke Asia untuk Piala Thomas dan Uber (8-15 Mei).

Sementara itu, Rexy berkata beliau mahu mengadakan perbincangan dengan beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik, yang tidak mempamerkan aksi yang konsisten sejak meraih gangsa Olimpik Tokyo 2020 lalu.

Rexy menjelaskan bahawa penanda aras mara ke separuh akhir bagi setiap kejohanan yang diletakkan beliau bagi beregu nombor tujuh dunia itu, adalah berdasarkan ranking dunia mereka, yang beliau percaya setiap pemain yang menghuni ranking 10 teratas sepatutnya menumpukan kepada usaha mencabar kejuaraan.

“Kita lihat beregu Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi muncul juara Kejohanan Dunia dan Jelajah Dunia Akhir BWF berturutan sebelum ini. Sekiranya Aaron-Wooi Yik beraksi dengan konsisten dan fokus, mereka boleh mengalahkan beregu Jepun itu, ini saya bukan main cakap sahaja, tetapi berdasarkan kemampuan mereka.

“Ini bukan satu tekanan buat mereka, tetapi sebagai cabaran kerana untuk menjadi pemain bertaraf dunia, mereka harus membuat sesuatu yang mencabar. Ia akan memotivasikan mereka untuk menjadi lebih baik,” katanya sambil menambah akan berjumpa Aaron-Wooi Yik selepas mereka balik daripada bercuti. - BERNAMA
 

Advertisement