Anda di sini

Piala AFF: Thailand hampiri final selepas dua jaringan ke atas VIetnam

Advertisement
KUALA LUMPUR: Kapten Thailand  Chanathip Songkrasin mempamerkan aksi yang berwibawa dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF 2020 dengan menjaringkan dua gol untuk menewaskan juara bertahan Vietnam 2-0, di Stadium Nasional Singapura malam Khamis.

Vietnam memperoleh gol sulung selepas Chanatip menggunakan sebaik-sebaiknya kesilapan Nguyen Phong Hong Duy yang gagal menahan bola dengan kemas dalam satu serangan balas pantas untuk melakukan gerakan solo dan beliau terjatuh ketika dihalang penjaga gawang Vietnam tetapi boleh melantun dan bergolek masuk ke dalam gol lawan pada minit ke-13.

Chanatip kemudian dengan tenang menjaringkan gol keduanya menerusi sepakan leret yang menerjah sudut kiri gawang Vietnam selepas mendapat hantaran cantik hasil gerakan  pemain tengah Sarach Yooyen dengan penyerang Teerasil Dangda, 10 minit kemudian.

Nguyen Quang Hai hampir mengurangkan jurang gol untuk Vietnam yang dikenali sebagai “Naga Emas” pada minit ke-33 tetapi tendangan lencong menerusi sepakan percuma yang diambilnya terkena tiang kanan gawang Thailand.

Chanatip yang kini beraksi untuk kelab Jepun Hokkaido Consadole Sapporo hampir melakukan hatrik pada babak kedua tetapi sepakan kaki kanannya dari luar kotak penalti melambung tinggi pada minit ke-57.

Vietnam yang kelihatan tertekan di separuh masa kedua, hampir mendapatkan gol sulung mereka tetapi rembatan Quang Hai terkena palang gol pada minit ke-67.

Chanatip sekali lagi gagal menyempurnakan hatriknya selepas sepakan penalti beliau diselamatkan Tran Nguyen Manh pada minit ke-85 dan kedudukan jaringan kekal sehingga wisel penamat ditiup pengadil Saoud Al-Abda.

Semalam, tuan rumah Singapura seri 1-1 dengan Indonesia dalam satu lagi perlawanan separuh akhir di stadium sama. 

Perlawanan separuh akhir kedua antara Indonesia dan Singapura akan berlangsung Sabtu ini sementara  antara Thailand dengan Vietnam, pada hari ini. - BERNAMA

Advertisement