Anda di sini

Lelaki Indonesia dipenjara akibat usik elektrik untuk lombong Bitcoin

Advertisement

KUCHING: Seorang lelaki warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana menggangu pemasangan bekalan elektrik bagi menjalankan kegiatan perlombongan mata wang kripto, Bitcoin, Julai lalu.

Majistret Zubaidah Sharkawi juga menetapkan hukuman penjara bagi Diwan, 25, yang bekerja sebagai penjaga stor, untuk dikuatkuasakan mulai hari ini.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dirujuk ke Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan lanjut, selesai menjalani hukuman. 

Berdasarkan pertuduhan, lelaki tersebut didakwa dengan sengaja telah mengganggu pemasangan elektrik di bawah hak milik syarikat Sesco berhad, yang boleh membahayakan nyawa dan harta di sekitar kawasan tersebut. 

Perbuatan itu didakwa dilakukannya pada 26 Julai lalu, jam 12.22 tengah hari di sebuah premis di Jalan Bako, di sini.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 33 (3) Ordinan Elektrik Sarawak yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, dengan atau tanpa denda jika sabit kesalahan.

Mengikut keterangan kes, semasa serbuan dibuat ke atas premis tersebut, pihak polis dan pasukan Sesco mendapati premis tersebut dipercayai sedang menjalankan perlombongan Bitcoin secara haram. 

Hasil pemeriksaan mendapati premis berkenaan merupakan sebuah kilang lama yang telah ditinggalkan kosong.

Berdasarkan semakan pihak Sesco juga, aktiviti perlombongan secara tidak sah ini dianggarkan telah beroperasi selama lebih kurang dua bulan setengah dan anggaran kerugian adalah lebih kurang RM110,500 bagi tempoh tersebut.

Siasatan awal juga mendapati tertuduh bekerja menjaga mesin lombong berkenaan  dari jam 8 pagi hingga 6 petang sejak awal bulan Julai tahun ini dengan bayaran RM1,000 sebulan.

Susulan itu, beberapa barangan digunakan untuk kegiatan itu juga dirampas, antaranya adalah mesin perlombongan Bitcoin, CPU, monitor, papan kekunci, tetikus dan telefon bimbit.

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin.
 

  • oleh
  • Advertisement