Anda di sini

PRN Sarawak: Tewas di Mulu, Telang Usan dan Marudi, PKR Baram mohon maaf 

Advertisement
 

MIRI: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Baram memohon maaf di atas kegagalan memenangi ketiga-tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Mulu, Telang Usan dan Marudi dalam Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN).

Ketua Cabang PKR Baram, Roland Engan berkata, walaupun undi untuk perubahan adalah kurang daripada jumlah undi yang diperolehi pada PRN11 2016 dan Pilihan Raya Umum (PRU) 2018, parti tetap berterima kasih kepada rakyat Baram yang menunaikan tanggungjawab untuk mengundi.

“Keadilan mengucapkan terima kasih kerana mengundi untuk perubahan di Baram pada PRN12. Kami tetap menghormati keputusan rakyat yang memberi mandat kepada Gabungan Parti Sarawak untuk terus berkhidmat kepada rakyat di Baram.”

“Bagi pihak pimpinan Keadilan Baram, saya memohon maaf atas kegagalan memenangi ketiga-tiga DUN yang dipercayakan untuk bertanding kali ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Roland menambah, Keadilan Baram mengucapkan tahniah kepada GPS dan calon-calonnya yang menang, Datuk Gerawat Gala (Mulu), Dennis Ngau (Telang Usan) dan Datu Dr Penguang Manggil (Marudi) dan calon lain yang mendapat tempat di hati rakyat Baram.

Selain itu katanya, parti juga menghormati sokongan rakyat pada Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan Parti Bumi Kenyalang (PBK) serta calon-calonnya.

“Walaupun tidak memenangi sebarang kerusi di Baram, namun kami akan meneruskan perjuangan demi perubahan dan rakyat Baram.”

Sehubungan itu katanya, pimpinan Keadilan Baram akan mengadakan mesyuarat khas untuk membuat pasca nilai dan hala tuju perjuangan parti selepas sambutan Tahun Baharu 2022.

  • oleh
  • Advertisement