Anda di sini

Tewas semua kerusi, PKR dakwa PRN12 tidak adil 

Advertisement
 

KUCHING: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak mendakwa Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12) dijalankan secara tidak adil, bersih dan benar-benar bebas. 

Jawatankuasa Pilihan Raya PKR Sarawak dalam kenyataan berkata Gabungan Parti Sarawak (GPS) jelas mempercepatkan pilihan raya bagi mengelak Undi18 dan memastikan monopoli berterusan GPS. 

Langkah ini katanya telah menyebabkan lebih kurang 150,000 pengundi berumur 18 hingga 21 tahun tidak berpeluang untuk mengundi. 

Selain itu katanya 500,000 pengundi baharu yang didaftar melalui pendaftaran automatik juga tidak berpeluang mengundi. 

Manakala lebih daripada 250,000 pengundi Sarawak yang bekerja dan belajar di Semenanjung Malaysia tidak dapat pulang mengundi kerana tiket penerbangan mahal. 

“Isu pandemik COVID-19 dan pilihan raya yang dijalankan pada hari Sabtu dan bukan Ahad merumitkan lagi situasi dan menyumbang kepada bilangan pengundi yang rendah. 

“Di beberapa tempat, pengundi terpaksa mengambil pengangkutan udara, jalan dan air untuk sampai ke kampung dan kawasan mengundi. 

“Kedua faktor ini menghalang ramai pengundi daripada keluar mengundi,” katanya. 

PKR turut mendakwa kegagalan kerajaan GPS memastikan capaian Internet yang stabil di sebahagian besar lokasi luar bandar menyebabkan kempen secara maya tidak efektif. 

Selain itu katanya jelas politik wang masih berleluasa dalam arena politik Sarawak.

PRN12 yang berakhir semalam menyaksikan PKR tewas di semua 28 kerusi yang ditandingi. 

Pada PRN 2016, PKR menang tiga kerusi iaitu Batu Lintang, Ba’kelalan dan Krian namun kesemua penyandangnya keluar dari parti. 

  • oleh
  • Advertisement