Anda di sini

PRN12: Hanya 60.67 peratus keluar mengundi

Advertisement
 

KUCHING: Peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12) pada Sabtu tidak mencapai sasaran asal iaitu sebanyak 70 peratus.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh dalam kenyataannya hari ini berkata pada PRN12 hanya 60.67 peratus atau 759,627 pengundi berdaftar keluar mengundi.

Beliau berkata jumlah tersebut meliputi jumlah pengundi biasa, pengundi awal dan pengundi pos yang telah mengundi.

Setakat 2 November 2021, Sarawak mempunyai 1,252,014 pengundi berdaftar dan daripada jumlah itu 1,228,858 adalah pengundi biasa, 23,043 pengundi awal (anggota tentera serta pasangan dan anggota polis serta pasangan) dan 113 pengundi tidak hadir (PTH) luar negara.

Dalam kenyataan bertarikh 24 November 2021, Abdul Ghani berkata SPR menyasarkan 70 peratus pengundi akan keluar mengundi pada PRN12.

Pada sidang media 6 Disember 2021, beliau mengulangi keyakinan SPR, sasaran 70 peratus pengundi keluar mengundi pada PRN12 boleh dicapai meski pun Sarawak diramal berdepan keadaan cuaca tidak menentu.

"70 peratus (pengundi keluar mengundi). Insya- Allah boleh. Orang Sarawak ini baik-baik dan bersedia menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi," katanya.

Berdasarkan rekod SPR, peratusan keluar mengundi pada PRN11 pada 7 Mei 2016 ialah 70.01 peratus manakala pada PRN10 (2011) peratus keluar mengundi 69.9 peratus.

Peratusan keluar mengundi paling tinggi dicatatkan dalam PRN Sarawak direkodkan pada 1969 iaitu 80 peratus.

Pada PRN12, Gabungan Parti Sarawak (GPS) memang besar apabila memenangi 76 daripada 82 kerusi dipertandingkan sekali gus memberi mandat untuk gabungan itu membentuk semula kerajaan.

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada malam Sabtu mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sarawak ketujuh di di hadapan Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud di Balai Menghadap Utama, Astana Negeri, Petra Jaya. 
 

Advertisement