Anda di sini

PRN Sarawak: Polis terima 12 laporan pelbagai kesalahan semasa hari mengundi

Advertisement
 

KUCHING: Sekurang-kurangnya 12 laporan diterima oleh pihak polis atas pelbagai kesalahan berhubung hari mengundi sempena Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) pada Sabtu.

Pegawai Media Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi PRN12, Superintenden Alexson Naga Chabu berkata, kesemua laporan tersebut masih dalam siasatan setakat ini.

Katanya, antara aduan tersebut ialah dakwaan membeli undi oleh pihak lawan dan mendakwa terdapat individu atau kumpulan lain yang masih berkempen walaupun tempoh berkempen telah tamat pada jam 12 tengah malam pada 17 Disember.

"Selain itu, polis turut menerima aduan tidak puas hati kerana terdapat individu lain didakwa berkempen di pusat mengundi dan Ketua Tempat Mengundi (KTM) mengeluarkan kata-kata kesat.

"Selain laporan tidak puas hati kerana didakwa dikeluarkan kata-kata kesat oleh individu lain atau pihak lawan, polis juga menerima laporan tidak puas hati disebabkan nama beliau didakwa digunakan oleh orang lain," katanya ketika dihubungi hari ini.

Jelas Alexson, berhubung hari mengundi semalam, keadaan keseluruhan bagaimanapun selamat, aman dan terkawal.

Selain itu, Alexson berkata tiada parti, calon atau orang ramai didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) pilihan raya pada hari tersebut.

"Sehubungan itu, tiada sebarang kompaun dikeluarkan oleh pihak PDRM Sarawak kerana kesalahan melanggar SOP pilihan raya termasuk proses kiraan undi semalam," katanya.

Selain itu, bagi tempoh 30 November hingga semalam, PDRM mengeluarkan sebanyak 13 kompaun berjumlah RM41,000.

Sementara itu, sebanyak 211 laporan polis diterima atas pelbagai kesalahan pada PRN12 bagi tempoh yang sama.

Advertisement