Anda di sini

PRN Sarawak: Kemenangan besar isyarat rakyat sokong manifesto GPS 

Advertisement
 

KUCHING: Pengerusi Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sarawak, Senator Jaziri Alkaf Abdillah Suffian berkata kemenangan besar Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN12)  jelas menunjukkan rakyat negeri ini mahukan kestabilan politik. 

Ia katanya sekali gus kekal meneruskan usaha pembangunan di negeri ini seperti yang dijanjikan dalam manifestonya.

"Syabas dan setinggi-tinggi tahniah kepada Pengerusi GPS Tan Sri Abang Abdul Rahman Johari Abang Openg di atas kemenangan besar yang diperoleh gabungan parti itu pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 yang berakhir semalam, sekali gus mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri.

"Saya juga mahu mengucapkan terima kasih kepada rakyat Sarawak yang terus mengundi GPS dan memahami dengan sokongan padu diberikan ini ia dapat meneruskan pembangunan lebih cemerlang kepada semua rakyat di negeri ini tanpa mengira agama, bangsa dan etnik," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jaziri berkata sokongan ini juga isyarat jelas rakyat memberi mandat kepada GPS, mereka menyokong manifesto dijanjikan dalam membangunkan dasar ekonomi dan sosial yang mengutamakan rakyat terutama serta misi mencapai status negeri maju dan berpendapatan tinggi pada tahun 2030.

"Ingin juga saya maklumkan di sini Rang Undang-Undang (RUU) untuk meminda Perlembagaan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), yang diluluskan secara majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat baru-baru ini merupakan satu pembuka jalan ke arah kejayaan dan pembangunan lebih besar untuk rakyat Sarawak selain menunjukkan komitmen GPS dan BERSATU Sarawak di peringkat Persekutuan demi rakyatnya," katanya.

Menurutnya, kejayaan kelulusan MA 63, satu manifestasi yang benar-benar memberi pengiktirafan kepada tuntutan dan status istimewa Sabah dan Sarawak apabila menyertai Malaysia sekali gus meletakkannya setaraf dengan Perjanjian Persekutuan 1948 dan Perjanjian Persekutuan 1957.

Ini sekali gus membantu usaha kerajaan negeri untuk meletakkan Sarawak pada kedudukan yang sama dengan Semenanjung sebagai rakan wilayah dalam Malaysia, tambahnya.

Sehubungan itu beliau berharap GPS dapat terus menjalankan amanah dan tanggungjawab yang diberikan oleh rakyat supaya dapat dipenuhi janji-janji yang telah diberikan pada pilihan raya dan meneruskan pembangunan ekonomi mampan dasar serta sosial yang mengutamakan rakyat.

"BERSATU Sarawak telah menunjukkan komitmen yang tinggi selama ini dalam memastikan kemenangan GPS dalam PRN-12. Kemenangan ini sesungguhnya adalah kemenangan untuk seluruh rakyat Sarawak," ujarnya.

  • oleh
  • Advertisement