Anda di sini

Penguang pertahan kerusi Marudi

Advertisement
Gambar fail.

MARUDI: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS)-PDP Datuk Penguang Manggil (gambar) berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Marudi pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12.

Penguang berjaya mengekalkan kerusi yang dimenanginya pada 2016 dengan majoriti 5,976 undi.

Beliau memperoleh 8,169 undi mengalahkan calon PSB Sylvester Entri Muran 2,193 undi. 

Manakala calon PKR Elias Lipi Mat memperoleh 373 undi,  Sawing Kedit (PBDSB) 124 dan Gilbert Young (PBK) 101.

Keputusan diumumkan oleh pegawai Pengurus Pilihan Raya N.76 Marudi Nurlila Ulis di Dewan Suarah Baram pada Sabtu.

Sementara itu Penguang berkata, pengundi di DUN Marudi menghantar mesej yang jelas bahawa mereka mahu seorang wakil rakyat dari GPS untuk terus memerintah untuk lima tahun lagi.

“Keputusan malam ini menzahirkan jenis wakil rakyat yang menjadi pilihan pengundi di Marudi.”

“Kemenangan ini sudah kita jangkakan. Rakyat Marudi sudah memilih siapa yang menjadi wakil mereka untuk tempoh lima tahun lagi”, katanya ketika dihubungi Utusan Borneo malam Sabtu.

Penguang yang berada di Kuching ketika dihubungi menambah, beliau kini mahu memberi tumpuan memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat di kawasan Marudi.

“Saya tidak mahu lagi bercakap mengenai politik kotor yang tidak beretika dan profesional sejak beberapa bulan sebelum tempoh berkempen,” tegasnya.

Penguang berjanji akan terus bekerjasama dengan wakil rakyat di Baram bersama Ahli Parlimen Baram Anyi Ngau untuk membawa lebih banyak pembangunan di kawasan itu.

“Kemenangan pada malam ini adalah hasil kerja keras semua parti dalam GPS dalam tempoh lima tahun sebelum ini,” katanya.

Beliau berharap semua calon yang bertanding menerima keputusan dengan hati yang terbuka.

  • oleh
  • Advertisement