Anda di sini

Lelaki di bawah pengaruh alkohol cuba tembak polis guna senapang

Advertisement
Senapang yang digunakan suspek dirampas untuk barang kes.
Senapang yang digunakan suspek dirampas untuk barang kes.

MUKAH: Seorang warga emas yang dipercayai di bawah pengaruh alkohol cuba menembak anggota polis menggunakan senapang patah di sebuah rumah panjang di kawasan Tamin sekitar jam 2.10 petang Sabtu.

Menurut Ketua Polis Daerah Dalat DSP Saga Chunggat, kejadian berlaku setelah polis dari Balai Polis Stapang menerima aduan suspek berusia 62 tahun pada mulanya membuat ugutan ke atas penduduk di sebuah kedai di Tamin.

"Bertindak atas maklumat itu, sepasukan polis diketuai oleh Ketua Balai Polis Stapang telah bergegas ke lokasi tersebut," katanya kepada Utusan Borneo.

Bagaimanapun, katanya, setelah sampai ke lokasi mendapati suspek telah beredar.

Setelah 20 minit, jelasnya, polis berjaya mengesan suspek di sebuah rumah panjang berdekatan.

Di rumah panjang berkenaan, Saga memberitahu suspek kelihatan duduk di tangga rumah panjang sambil menyandang selaras senapang patah di bahunya.

Tambahnya, tidak lama kemudian suspek mencabar dua anggota polis dengan mengacu senapang patah ke arah mereka dan memasukkan peluru ke dalam senapang itu.

Menurutnya lagi, tindakan pantas seorang lagi anggota polis yang naik ke rumah panjang berkenaan menggunakan tangga lain berjaya mendekati suspek dan cuba merampas senapang patah tersebut.

"Berlaku pergelutan antara suspek dan anggota polis manakala senapang turut terlepas satu das letupan ketika pergelutan.

"Bagaimanapun, tembakan itu tidak mengenai sesiapa," ujarnya.

Beliau memberitahu, suspek kemudiannya berjaya diberkas dengan bantuan dua lagi anggota polis.

"Saya sangat bangga dengan tindakan dan keberanian tiga anggota polis tersebut," ujar Saga lagi.

Difahamkan ketiga-tiga anggota polis tersebut telah dibekalkan dengan sepucuk pistol semi-auto yang boleh digunakan untuk tujuan mempertahankan diri, namun mereka memutuskan untuk menggunakan teknik asas mempertahankan diri untuk mengendalikan suspek.

Suspek kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dalat untuk siasatan lanjut dan senapang patah telah turut dirampas.

Kes disiasat di bawah Sekayen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 38 Anta Senjata Api 1960.

  • oleh
  • Advertisement