Anda di sini

Kemenangan GPS isyarat rakyat iktiraf parti tempatan

Advertisement
 

KUCHING: Kemenangan lebih dua pertiga Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN12) disifatkan sebagai isyarat rakyat mengiktiraf parti tempatan yang terbukti mempunyai rekod cemerlang dalam mentadbir negeri ini.

Ketua Whip GPS, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata, kemenangan itu juga membuktikan rakyat tempatan menolak parti berpangkalan di Semenanjung atau 'parti luar' untuk mentadbir Sarawak.

"Setinggi penghargaan dan terima kasih kepada pengundi Sarawak yang memberi mandat dan kepercayaan kepada GPS untuk terus menerajui dan mentadbir Sarawak, dalam PRN12 ini.

“Penghargaan dan terima kasih juga kepada kesemua jentera parti yang bertungkus lumus dan bekerja keras di semua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi GPS,” katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu menambah, kemenangan ini juga adalah amanah rakyat dan harus dipikul dengan penuh tanggung jawab oleh semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) GPS terpilih.

Mandat ini katanya, adalah amanah rakyat bukan sahaja untuk ADUN GPS yang dipilih, malah untuk Ahli Parlimen GPS. 

“Kami di peringkat Persekutuan akan terus memberikan khidmat terbaik demi Sarawak dan Malaysia.

“Semoga gelombang kemenangan ini akan berterusan dan membawa kemenangan lebih besar kepada GPS pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 nanti,” kata beliau.

Fadillah dalam pada itu, turut merakamkan penghargaan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), petugas pilihan raya, Kementerian Kesihatan dan semua yang terlibat dalam memastikan kelancaran PRN12.

Terdahulu, GPS yang dipimpin Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Abang Openg menang 75 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan pada PRN12 sekali gus berjaya membentuk kerajaan negeri.

  • oleh
  • Advertisement