Anda di sini

Kemenangan di Lambir cermin keyakinan rakyat terhadap Abang Johari

Advertisement
 

MIRI: Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Lambir, Ripin Lamat menyifatkan kemenangannya sebagai bukti rakyat di kawasan Lambir amat yakin dengan keupayaan dan kepimpinan Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mentadbir Sarawak.
    
Malah katanya, sokongan yang diberikan oleh masyarakat di Lambir terhadap beliau sebagai calon GPS yang diterjemahkan pada kertas undi semalam juga menandakan mereka memilih parti GPS untuk terus membawa pembangunan ke negeri ini.
    
"Ini jelas menandakan rakyat Sarawak begitu yakin dengan keupayaan dan kepimpinan yang amat berhormat Abang Jo dalam menjadikan Sarawak sebuah negeri maju pada tahun 2030 nanti.

"Selain itu, ia juga satu manifestasi kepercayaan rakyat kepada parti GPS untuk terus membawa kestabilan politik, pentadbiran yang baik dan pembangunan di setiap pelosok kawasan di negeri ini terlaksana," katanya.

Ripin berkata demikian ketika ditemui sejurus diumumkan memenangi kerusi N.72 Lambir pada PRN12 di sini malam tadi.

Sehubungan itu, beliau amat berterima kasih kepada para pengundi yang telah sekali lagi memilihnya untuk menjadi wakil rakyat bagi kawasan DUN Lambir.

"Sudah pasti yang pertamanya, saya ingin meningkatkan dan memperhebatkan lagi pembangunan di kawasan DUN Lambir dengan menitikberatkan kepentingan pendidikan untuk golongan pelajar dan remaja.

"Pada masa sama, kita akan berusaha membangunkan sosio-ekonomi penduduk di kawasan ini agar mereka dapat menikmati kehidupan yang baik dengan pendapatan lebih tinggi berbanding sekarang," katanya ketika ditanya apakah perancangan beliau untuk Lambir dalam tempoh lima tahun akan datang.

Dalam pada itu, Ripin turut menegaskan akan memberi fokus kepada usaha untuk menyelesaikan masalah jaringan telekomunikasi yang lemah di kawasan Lambir ketika ini.
    
Katanya, masalah ini akan menjadi agenda utama beliau dalam rancangan pembangunan Lambir seterusnya kerana ia merupakan satu isu hangat yang diperkatakan ramai pihak sepanjang tempoh berkempen yang lalu.
    
Pada PRN12 yang berakhir malam tadi, Ripin berjaya mempertahankan kerusi DUN Lambir untuk penggal ketiga setelah memperolehi 6,860 undi dengan majoriti sebanyak 5,562.
    
Manakala tiga pencabarnya iaitu Lila Mohamad (PSB) memperolehi 1,298 undi, Zulhaidah Suboh (PKR) 1,139 undi dan Dyanne Oshield Nickson (PBK) mendapat 789 undi.
    
Kemenangan Ripin diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Lambir, Ashad Shamsu sekitar jam 8.50 malam di pusat penjumlahan undi di Dewan Muhibbah, Institut Pendidikan Guru (IPG) Miri malam tadi.
 

  • oleh
  • Advertisement