Anda di sini

Kemenangan besar GPS, tanda kepercayaan rakyat

Advertisement
Gambar fail.
Gambar fail.

KUCHING: Kemenangan besar Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN12) kerana rakyat masih percaya dengan manifesto serta perjuangan GPS, kata Setiausaha Agung GPS, Dato Sri Alexander Nanta Linggi (gambar).

Menurutnya, ia juga kepercayaan rakyat terhadap GPS yang menumpukan perhatian untuk meneruskan pembangunan di luar bandar dan bandar selain seiring dengan ke arah mencapai ekonomi digital negeri ini.

“Pertamanya memang jelas kemenangan GPS kali ini amat cemerlang dan lebih daripada apa yang dimenangi pada PRN 2016 dan ia adalah satu penambahbaikan yang diterajui Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta rakan seperjuangan GPS lain.

“Pada saya mengapa kita menang begitu besar kerana rakyat masih percaya manifesto dan perjuangan GPS yang menumpukan kepada meneruskan pembangunan di luar bandar dan bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis mendengar keputusan PRN12 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, malam Sabtu.

Nanta yang juga Setiausaha Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata, meskipun GPS diasak dengan begitu ketara oleh pihak pembangkang tetapi rakyat masih mahukan kerajaan yang terbaik kepada mereka.

Ia katanya dari segi pembangunan yang masih diperlukan rakyat di Sarawak dan kepentingan negeri ini terutamanya hak Sarawak, yang harus diutamakan.

“Memang ini satu-satunya tarikan begitu hebat kepada GPS dan pembangkang tidak ada modal kerana mereka hanya menumpukan kepada fitnah dan tidak berasas. Rakyat muak dengan taktik lapuk mereka.

“Rakyat tidak mahu fitnah dan janji mereka (pembangkang) yang tidak ditepati dan hanya untuk meraih undi dan atas sebab itu mereka tidak berjaya,” tegasnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata PSB yang mempertaruhkan 70 kerusi pada PRN12 hanya memenangi kerusi kurang daripada 10 yang menggambarkan bahawa dengan ketara sekali rakyat tidak berminat dengan mereka.

Sebaliknya beliau sekali lagi menegaskan apa yang pasti kehendak dan keinginan rakyat adalah menumpukan kepada isu-isu serius iaitu pembangunan.

  • oleh
  • Advertisement