Anda di sini

Kalah semua kerusi di Sibu, David Wong sedia bertanggungjawab

Advertisement
Gambar fail.
Gambar fail.

SIBU: Timbalan Pengerusi DAP Sarawak David Wong Kee Woan (gambar) berkata beliau akan bertanggungjawab sepenuhnya atas kegagalan parti itu memenangi empat kerusi yang ditandingi di Bandar Sibu pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12).

Katanya beliau bersedia menerima sebarang keputusan dibuat oleh pucuk pimpinan parti, dan baginya semua calon telah bekerja keras, melakukan yang terbaik untuk memangi kerusi ditandingi mereka.

“Malangnya kami tewas di empat kerusi di Sibu, tetapi kami menghormati pilihan dan keputusan dibuat oleh para pengundi. Kami ucapkan terima kasih kepada pengundi-pengundi yang telah memberi kepercayaan kepada kami dan DAP.

“Saya akan bertanggungjawab sepenuhnya atas kekalahan parti di Sibu. Apa sahaja keputusan saya akan terima. Kedudukan saya dalam parti, saya serahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk memutuskannya,” katanya pada sidang media di ibu pejabat DAP Sibu di sini hari ini.

Katanya sebelum ini pihaknya menjangkakan dapat memenangi sekurang-kurangnya tiga kerusi ditandingi tetapi selepas pengundian semalam dua penyandang dan muka baru yang bertanding di Bandar Sibu tewas.

PRN12 menyaksikan DAP Sarawak gagal mempertahankan dua kerusi dimenangi di Sibu pada pilihan raya negeri 2016 iaitu Bukit Assek dan Pelawan.

Wong yang merupakan penyandang dua penggal di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelawan tewas kepada muka baru Gabungan Parti Sarawak (GPS) iaitu Michael Tiang Ming Tee dengan majoriti 100 undi dalam pertandingan lima penjuru untuk merebut kerusi itu.

Irene Chang Oi Ling pula gagal mempertahankan kerusi DUN Bukit Assek dalam pertandingan enam penjuru yang dimenangi oleh Chieng Jin Ek daripada GPS dengan majoriti 874 undi.

Dua calon baru DAP, Paul Ling Fong dan Amy Lau Bik Yieng masing-masing gagal memberikan saingan yang signifikan di Dudong dan Bawang Assan.

Kerusi Dudong dimenangi Datuk Seri Tiong King Sing mewakili GPS, manakala Bawang Assan kekal milik penyandangnya Datuk Seri Wong Soon Koh yang merupakan Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB). - BERNAMA
 

Advertisement