Anda di sini

DAP akui kalah, akan buat pasca nilai

Advertisement
Chong bercakap kepada pemberita selepas pengumuman keputusan PRN12.
Chong bercakap kepada pemberita selepas pengumuman keputusan PRN12.

KUCHING: Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak menerima kekalahan dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN12) yang menyaksikan hanya menang dua daripada 26 kerusi yang ditandingi. 

Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen ketika ditemui berkata mereka menerima keputusan yang dibuat rakyat Sarawak dalam pilihan raya kali ini yang menyaksikan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menang 76 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan. 

“Kami menerima kekalahan dan keputusan rakyat Sarawak dalam pilihan raya ini dan kami akan buat post mortem (pasca nilai) serta membuat perubahan yang perlu untuk khidmat lebih baik kepada rakyat,” katanya. 

Meskipun kalah teruk dalam PRN kali ini, Chong yang memenangi kerusi Padungan memberi jaminan kepada rakyat Sarawak bahawa mereka akan meneruskan perjuangan politik demi kepentingan rakyat negeri ini. 

DAP katanya juga akan terus berjuang demi hak rakyat Sarawak kerana ini adalah perjuangan politik yang sudah lama dipegang oleh parti. 

Dalam pada itu selain Padungan, satu lagi kerusi yang dimenang DAP ialah Pending menerusi Violet Yong yang juga merupakan penyandang sedia ada bagi kerusi itu. 

Lima kerusi yang dimenangi pada PRN 2016 iaitu Kota Sentosa, Bukit Asek, Pelawan, Tanjung Batu dan Pujut masing-masing tewas kepada calon GPS.

Sementara itu, dua lagi rakan parti DAP dalam Pakatan Harapan (PH) Sarawak iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (AMANAH) tewas di semua kerusi yang ditandingi. 

  • oleh
  • Advertisement