Anda di sini

Bahan kempen PRN Sarawak perlu diturunkan segera

Advertisement
Dua petugas sedang menurunkan kain rentang calon GPS di Jalan Matang Baru hari ini
Dua petugas sedang menurunkan kain rentang calon GPS di Jalan Matang Baru hari ini

KUCHING: Semua jenis bahan kempen termasuk bendera, poster, papan tanda dan sebagainya yang digunakan dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN12) perlu diturunkan dengan segera.

Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP), Lo Khere Chiang berkata, semua parti politik yang bertanding diberi tempoh tujuh hari untuk menurunkan semua bahan kempen mereka yang dipamerkan di sekitar kawasan tadbiran MPP.

Jika bahan kempen itu tidak diturunkan atau dibersihkan, katanya, wang deposit parti tidak akan dikembalikan dan calon akan diberi amaran.

“Setiap parti yang bertanding ada membayar deposit jadi sekiranya mereka gagal menurunkan bendera atau kain rentang, wang deposit itu akan digunakan untuk membersihkan bendera atau kain rentang yang tidak diturunkan oleh parti terlibat,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo hari ini.

Jentera GPS membersihkan bahan kempen PRN12 ketika tinjauan di Batu Kawa hari ini.
Jentera GPS membersihkan bahan kempen PRN12 ketika tinjauan di Batu Kawa hari ini.

Beliau memberitahu pihaknya akan melakukan pemantauan di setiap kawasan bagi memastikan parti politik mematuhi arahan yang ditetapkan sebelum ini.

“Semalam saya nampak ramai orang sudah turunkan bendera (parti) masing-masing dan pagi ini saya meninjau di jalan-jalan di sini, banyak yang sudah diturunkan,” katanya.

Lo berkata, dianggarkan lebih 50 peratus bahan kempen sudah dibersihkan di kawasan pentadbiran MPP. 

“Ini sangat baik dan berharap mereka akan terus memberi kerjasama yang baik.

“Malah sebelum ini (pilihan raya lepas) tidak pernah ada pihak yang dikenakan tindakan atas kesalahan tersebut dan saya juga berharap ia tidak berlaku pada tahun ini,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Pengerusi PKR Sarawak Abang Zulkifli Abang Engkeh berkata, jentera parti sedang giat menjalankan kerja menurunkan poster serta membersihkan bahan kempen lain.

“Sebahagian kecil (kawasan) sudah kita bersihkan dan kita jangkakan kerja-kerja ini dapat diselesaikan dalam tempoh singkat,” ujarnya.

Sementara itu, tinjauan Utusan Borneo mendapati di sekitar Jalan Abell, Padungan, Pending, Batu Kawa dan Petra Jaya mendapati sebahagian bendera dan kain rentang telah diturunkan sebaik sahaja PRN12 berakhir malam tadi.

Kelihatan beberapa petugas menurunkan bendera dan kain rentang dengan logo parti GPS, PSB dan PKR yang dipasang di sekitar kawasan terbabit.

Jentera PSB menurunkan bendera dan kain rentang parti di Tabuan Laru kira-kira jam 1 pagi tadi. Gambar oleh Roystein Emmor
Jentera PSB menurunkan bendera dan kain rentang parti di Tabuan Laru kira-kira jam 1 pagi tadi. Gambar oleh Roystein Emmor
  • oleh
  • Advertisement