Anda di sini

Uggah sifatkan pilihan raya ini sangat mencabar dari aspek pematuhan SOP COVID-19

Advertisement
Uggah dan Doreen antara pengundi terawal membuang undi di Pusat Mengundi Rh. Mendit Unsu, Penom.
Uggah dan Doreen antara pengundi terawal membuang undi di Pusat Mengundi Rh. Mendit Unsu, Penom.

SPAOH: Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN12) paling sukar dan mencabar kerana pelaksanaan Prosedur Operasi Standard (SOP) pencegahan COVID-19.

Beliau berkata penguatkuasaan ketat SOP itu tidak hanya di bandar tetapi juga di kawasan luar bandar. Liputan internet yang sangat lemah di kawasan luar bandar telah merumitkan lagi keadaan, tambahnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengundi di rumah panjang tempat kelahirannya yang sudah berusia hampir 95 tahun, Rh. Mendit Unsu, Penom dekat sini, hari ini.

Uggah bersama isteri Dato Doreen Mayang, serta tiga anak mereka dan ahli keluarga yang lain antara pengundi pertama tiba di pusat mengundi itu yang dibuka pada pukul 7.30 pagi.

Sebelum memasuki Pusat Mengundi di bawah selian Ketua Tempat Mengundi Alan Sambau, mereka perlu mendaftar kehadiran menerusi aplikasi MySejahtera dan mengimbas suhu badan.

Uggah mempertahankan kerusi DUN Bukit Saban yang dimenanginya buat pertama kali pada PRN11 pada 2016.Sebelum ini beliau menjadi Ahli Parlimen Betong selama tujuh penggal.

Pilihan raya negeri kali ini beliau dicabar calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Sarawak Bersatu (PSB).

DUN Bukit Saban antara konstituensi luar bandar merupakan kerusi majoriti Iban mempunyai 9,500 pengundi berdaftar dari lebih 95 buah rumah panjang dan empat kampung Melayu dengan 854 rumah.

Kira-kira 6,500 daripada pengundi berdaftar di DUN Bukit Saban adalah Iban, 2,700 Melayu dan 300 lagi Cina.

Uggah berkata jika pada pilihan raya-pilihan raya lalu, beliau boleh mengadakan majlis bersama rakyat, ceramah dan acara hiburan di setiap lokasi, bagaimanapun kali ini semua itu tidak dibenarkan atau dibenarkan dengan sekatan.

"Ini sangat penting untuk menyampaikan mesej saya kepada pengundi. Pada pilihan raya sebelum ini, penjarakan fizikal tidak perlu, pemakaian pelitup separuh muka tidak diwajibkan dan tidak perlu mendaftar kehadiran menerusi MySejahetra serta mengimbas suhu badan.

"Sekarang, kita boleh mengadakan ceramah di tempat-tempat ditetapkan dengan menghadkan kapasiti orang yang hadir serta masa dibenarkan," katanya.

Uggah menambah, "Kita tidak dibenarkan berjabat tangan dengan pengundi, ini boleh menyebabkan mereka menganggap kita sombong atau bangga.

"Bagi saya, saya ada jentera dan pasukan untuk berkempen di semua rumah panjang, kampung termasuk kawasan bandar. Saya hanya melawat segelintir dalam tempoh dua minggu berbanding pada pilihan raya negeri 2016, saya mengunjungi semua mereka (pengundi) selepas menang."

Mengenai penggunaan media sosial sebagai platform berkempen, Uggah berkata beliau dan jentera parti mendapati ia sukar dilakukan disebabkan liputan internet yang terhad di DUN Bukit Saban.

"Pilihan ini hanya boleh digunakan di kawasan yang ada liputan internet yang baik," tambahnya.

Advertisement