Anda di sini

Selepas menang di Pelawan, Tiang tekad kerja gigih

Advertisement
Dr Low (kiri) mengucapkan tahniah kepada Tiang selepas pengisytiharan keputusan pilihan raya DUN Pelawan.
Dr Low (kiri) mengucapkan tahniah kepada Tiang selepas pengisytiharan keputusan pilihan raya DUN Pelawan.

SIBU: Kemenangan merampas kembali kerusi DUN Pelawan dengan menang majoriti tipis 100 undi memberi mesej jelas kepada calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Michael Tiang Ming Tee untuk rendah diri, bekerja keras dan menunaikan janji manifesto kempen kepada pengundi DUN Pelawan.

Kemenangan Tiang diumumkan secara rasmi oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Pelawan Teng Ming Min pada jam 8.24 malam di Dewan Mill De Lasale, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sacred Heart.

"Terima kasih kepada para pengundi DUN Pelawan atas kepercayaan mengundi dan beri mandat kepada saya untuk menjadi wakil rakyat. Saya berjanji akan menunaikan enam pelan dalam manifesto yang dilancarkan pada kempen saya.

"Menang majoriti tipis ini juga memberi mesej jelas kepada saya untuk rendah diri, bekerja keras dan menunaikan janji kempen kepada pengundi DUN Pelawan," jelasnya ketika ditemui pemberita sejurus selepas pengumuman keputusan sebentar tadi.

Ketika diminta mengulas jika calon Parti Tindakan Demokratik (DAP) David Wong Kee Woan hendak membuat pengiraan semula undi, Tiang memberitahu beliau tidak membantah kerana mereka juga ada hak untuk berbuat demikian.

"Pengiraan semula undi adalah proses yang tepat, saya tidak membantah kerana mereka ada hak untuk berbuat demikian," ujarnya.

Tiang juga berterima kasih kepada pasukan kempennya atas dedikasi mereka membantu GPS memenangi kerusi DUN Pelawan.

"Terima kasih kepada jawatankuasa pilihan raya DUN Pelawan, pegawai-pegawai dan para petugas barisan hadapan untuk memastikan proses pilihan raya berjalan lancar dengan adil dan terus," katanya.

Pada PRN Sarawak kali ini, DUN Pelawan yang mempunyai 34,466 pemilih berdaftar menyaksikan pertembungan lima penjuru.

Tiang (GPS) memperoleh 4,413 undi menewaskan calon DAP David Wong Kee Woan (4,313), PSB Dr Low Chong Nguan (3,757), PBK Tiew Yen Houng (3,146) dan ASPIRASI Janet Loh (302).

Jumlah peratusan pengundian berbanding jumlah pemilih ialah 47.30 peratus, manakala undi yang ditolak sebanyak 108.

Turut hadir di Pusat Penjumlah Undi bagi mendengar keputusan yang diumumkan ialah Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Pelawan Clarence Ting yang juga Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) dan calon PSB Dr Low Chong Nguan.

  • oleh
  • Advertisement