Anda di sini

See Chee How berjaya pertahan Batu Lintang

Advertisement
Pegawai Pengurus Pilihan Raya Zuraida Idris mengumumkan See menang di Batu Lintang.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya Zuraida Idris mengumumkan See menang di Batu Lintang.

KUCHINB: See Chee How dari Parti Sarawak Bersatu (PSB) berjaya mengekalkan kemenangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Lintang tetapi dengan majoriti kurang berbanding Pilihan Raya Negeri 2016.

Beliau memperoleh 4,420 undi untuk menang dengan majoriti 93, sementara Gabungan Parti Sarawak Sih Hua Tong menerima 4,327 undi, Cherishe Ng dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) 1,823 undi, Voon Lee Shan Parti Bumi Kenyalang (PBK) 1,570 undi dan Alex Leong Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) dengan 187 undi. 

Keputusan rasmi itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya (SPR) Zuraida Idris sekitar jam 9.42 malam di Pusat Penjumlahan Undi DUN Batu Lintang di MBKS Sports Village di Jalan Bintawa di sini, hari ini. 

Zuraida memberitahu peratus pengundian berbanding dengan jumlah pemilik ialah 42.08 peratus, dengan 94 undi ditolak. 

Terdahulu pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 tahun 2016, Sih menentang calon See dan calon STAR Lina Soo namun See yang bertanding atas tiket PKR pada ketika itu berjaya mempertahankan kerusinya dengan majoriti selesa, 4,385 undi.

Pada 2011, See menang dengan majoriti 8,381 selepas meraih 13,235 undi.

Dalam pada itu, See semasa ditemui pemberita berterima kasih kepada pihak-pihak yang terlibat dengan pilihan raya di Batu Lintang dan berpendapat kesemuanya telah mengendalikan pilihan raya tersebut dengan baik.

“Saya mengucapkan tahniah kepada pihak terlibat seperti pegawai-pegawai SPR, polis dan pasukan pilihan raya saya yang telah bekerja keras mengendalikan pilihan raya kali ini dengan sangat baik. 

“Saya juga berterima kasih kepada pihak lawan saya yang telah memberikan saingan sengit kali ini. Saya juga merasakan mereka memperoleh keputusan yang baik malam ini,” ujarnya. 

Ketika ditanya pemberita berhubung jumlah majoriti undi beliau yang sangat berkurang kali ini, See yang juga Ahli Majlis Tertinggi Presiden PSB berkata, ia susulan jumlah orang yang keluar mengundi adalah rendah, selain disebabkan oleh pandemik COVID-19 serta keadaan cuaca pada masa kini yang sering hujan.

“Kita juga harus melihat kepada jumlah parti yang bertanding bagi DUN 11 Batu Lintang pada kali ini iaitu sejumlah lima parti termasuk saya dan ia sekali gus menjadikan pilihan raya kini sangat sengit apatah lagi apabila sebelum ini hanya beberapa parti terlibat.

“Calon-calon yang bertanding kali ini juga telah meraih isu yang sangat baik dan bertepatan dengan rakyat Sarawak,” ujar beliau. 

Tambah See,PH (Pakatan Harapan) merupakan pencabar kuat dan berikutan ini, orang ramai boleh menjangkakan keputusan malam ini adalah tidak seperti sebelumnya. 

  • oleh
  • Advertisement