Anda di sini

Sedikit kecoh, tetapi terkawal

Advertisement
pihak polis terpaksa dipanggil bagi mengawal situasi di pusat undi tersebut.
Polis terpaksa dipanggil bagi mengawal situasi di pusat undi SK Nanga Ngungun.

KANOWIT: Keadaan sedikit kecoh pada saluran mengundi yang dikhaskan untuk warga emas dan OKU di pusat mengundi SK Nanga Ngungun, di sini.

Ia disebabkan berlakunya 'potong giliran' dan proses membuang undi yang perlahan di aliran berkenaan.

Seorang pengundi yang sedang menemani bapanya yang berumur 92 tahun kedengaran meninggikan suara bagi meminta bantuan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan seorang anggota polis yang sedang bertugas menjaga saluran mengundi berkenaan untuk membenarkan bapanya masuk membuang undi.

Lelaki itu juga turut kedengaran memberitahu mereka (petugas SPR dan polis) bahawa bapanya telah menunggu sejak waktu pembukaan pusat mengundi pada jam 7.30 pagi.

Tinjauan pusat undi tersebut juga mendapati, barisan pengundi yang sedang menunggu giliran membuang undi di luar pusat undi berkenaan agak panjang dan tidak teratur.

Beberapa pengundi warga emas yang tidak tahan berdiri terlalu lama di luar saluran pengundian dilihat meninggalkan pusat pengundian tanpa mengundi.
 
Pasukan polis bantuan dilihat tiba di pusat pengundian tersebut kira-kira jam 10 pagi selepas dimaklumkan oleh SPR mengenai situasi berkenaan.

Keadaan kembali teratur selepas polis memasang pita SPR di luar saluran pengundian.

Selain itu, wartawan turut dimaklumkan oleh penyelia pusat mengundi bahawa keadaan di saluran mengundi bermula lancar sebaik sahaja pusat mengundi dibuka.

Ia mula menjadi tidak terkawal apabila pengundi mula membanjir pusat undi tersebut dan ada yang memotong barisan.
 
Terdapat empat saluran membuang undi pusat undi tersebut dan dijadualkan ditutup pada jam 4 petang.
 
Sementara itu, calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Anyi Jana dan calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Charlie Genam turut dilihat meninjau keadaan di pusat undi berkenaan selepas membuang undi di pusat sama.

Charlie membuang undi kira-kira jam 9 pagi manakala Anyi kira-kira jam 9.35 pagi.
 

  • oleh
  • Advertisement