Anda di sini

Rakyat kini bijak dan matang memilih calon sesuai untuk teruskan pembangunan

Advertisement
 

ASAJAYA: Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah (gambar) menyifatkan pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Asajaya bijak dan matang memilih calon yang sesuai untuk berada di kerusi itu pada hari mengundi yang diadakan hari ini.

Katanya, kemenangan beliau di DUN Asajaya membuktikan bahawa rakyat faham akan perancangan kerajaan untuk membangunkan kawasan itu secara berterusan.

“Oleh sebab itu rakyat memberi sokongan yang membanggakan kepada saya supaya agenda pembangunan yang diatur sepanjang masa itu diteruskan khasnya DUN Asajaya.

“Sehubungan itu, terima kasih kepada penyokong yang memberi sokongan dan tidak lupa kepada semua petugas yang melancarkan Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) yang diadakan hari ini,” katanya ketika ditemui media di pusat penjumlahan undi DUN Asajaya iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Asajaya 2, di sini petang tadi.

Sementara itu, Abdul Karim menambah bahawa rakyat Sarawak juga menolak parti dari Semenanjung Malaysia kerana mereka hanya mahu parti Sarawak sahaja terlibat dalam PRN12. 

“Kita semua dapat lihat mereka (pembangkang) iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) turut bertungkus-lumus berkempen untuk memenangkan parti mereka. Bagaimanapun, rakyat di sini (Asajaya) faham dan matang bahawa mereka tidak mahu parti dari Semenanjung bertapak di Sarawak,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau juga menasihatkan supaya parti yang tewas agar menghormati keputusan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung keputusan PRN12.

“Saya juga berharap agar mereka yang tidak menyokong saya itu turut memberi kerjasama yang baik dalam membangunkan Sarawak. Saya tidak melihat mereka yang menyokong pembangkang ini bukan orang saya, tetapi semua orang di DUN Asajaya ialah orang saya,” ujarnya.
 

  • oleh
  • Advertisement