Anda di sini

PRN Sarawak: Pemilihan wakil rakyat, kerajaan bermula

Advertisement

Sejumlah 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) akan ditentukan siapakah wakil rakyat yang akan berkhidmat selama sepenggal dan memilih kerajaan negeri menerusi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12.

Hari ini, 1,213,769 pengundi biasa daripada sejumlah 1,252,014 pemilih berdaftar menunaikan tanggungjawab bermula 7.30 pagi, membabitkan 1,866 pusat mengundi, 3,555 saluran.

Pada 14 Dis lepas, sejumlah 18,141 daripada 20,360 pengundi awal telah menunaikan tanggungjawab mereka manakala 17,885 lagi mengundi melalui pos.

Beberapa orang pengundi yang tiba awal pagi ini untuk mengundi dilihat mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan iaitu memakai pelitup muka dan melalui proses saringan suhu badan ketika tinjauan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chung Hwa, Sibu - Gambar Bernama
Beberapa orang pengundi yang tiba awal pagi ini untuk mengundi dilihat mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan iaitu memakai pelitup muka dan melalui proses saringan suhu badan ketika tinjauan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chung Hwa, Sibu - Gambar Bernama

PRN Sarawak kali ini menyaksikan 13 pertandingan tiga penjuru, 33 perlawanan empat penjuru, 24 pertarungan lima penjuru, tujuh pertembungan enam penjuru, satu persaingan lapan penjuru dan empat satu lawan satu.

Gabungan Parti Sarawak (GPS) meletakkan 82 calon diikuti Parti Bumi Kenyalang (PBK) 73, Parti Sarawak Bersatu (PSB) 70, Parti Keadilan Rakyat (PKR) 28, DAP (26), Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) 15, Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) 11, Parti Amanah Negara (Amanah) lapan, Parti Sedar Rakyat Sarawak (Sedar) lima dan PAS (1). Sejumlah 30 calon Bebas turut bertanding.

Kemaskini 8.45 pagi

Calon Parti Sarawak Bersatu (PSB) bagi kerusi DUN Batu Lintang, See Chee How (gambar di bawah) antara yang mengundi di Pusat Pengundian di Sekolah Kebangsaan Garland. Beliau tiba di pusat pengundian itu pada kira-kira jam 7.15 pagi dan memasukkan kertas undi ke dalam peti sekitar jam 7.40 pagi. 

See ketika ditemui pemberita di SK Garland hari ini berkata, urusan membuang undi di sini pagi ini berjalan dengan lancar serta mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP).

“Saya berasa sangat baik kerana telah melaksanakan tanggungjawab dan hak saya sebagai pengundi. Orang ramai juga dilihat hadir menjalankan tanggungjawab mereka dan saya berharap lebih ramai yang akan hadir untuk mengundi,” ujarnya.

 

Kemaskini 9.00 pagi

Sementara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Dato Sri Alexander Nanta Linggi bersama isteri Datin Seri Angelina Celestine Ujang (gambar bawah) mengundi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Hock Lam, Kapit.

"Hari yang dinantikan sudah tiba. Saya memilih memakai baju batik untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Goram. Saya menyeru semua rakyat di Negeri Sarawak untuk menunaikan tanggungjawab," katanya menerusi catatan di Facebooknya.

 

Dalam pada itu, calon GPS bagi kerusi DUN Tellian, Royston Valentine (gambar bawah) mengundi di SK Kg Petanak, Mukah.

Beliau berharap dapat memenangi kerusi tersebut, sekali gus GPS akan terus mentadbira kerajaan negeri.

 

Di Sibu, hujan lebat yang turun sejak jam 8 pagi tidak mematahkan semangat Presiden PSB Dato Sri Wong Soon Koh berserta isterinya, Datin Sri Pauline Leong (gambar bawah) menunaikan tanggungjawab mengundi di SJKC Chung Hua.

Kedua-dua mereka tiba di pusat mengundi SJKC Chung Hua kira-kira jam 8.43 pagi, sebelum membuang undi kira-kira jam 8.54 pagi. Wong yang juga calon PSB Bawang Assan berharap cuaca akan bertambah baik agar lebih ramai pengundi keluar mengundi.

"Nampaknya hujan telah turun sejak awal pagi lagi, tetapi diharap cuaca akan cerah tidak lama lagi," ujarnya kepada pemberita.

 

Calon GPS bagi kerusi DUN Semop, Datuk Abdullah Saidol bersama isterinya, Datin Norasyikin Ibrahim mengundi di SK Kpg Serdeng, Daro pada 9.30 pagi.

 

Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaporkan setakat 9 pagi, 11 peratus pengundi telah keluar menunaikan tanggungjawab.

(berita lanjut menyusul)

 
  • oleh
  • Advertisement