Anda di sini

PRN Sarawak: Keputusan tidak rasmi, GPS capai majoriti mudah bentuk kerajaan negeri

Advertisement
Gambar fail menunjukkan Abang Johari bersama pemimpin GPS lain ketika melancarkan manifesto, baru-baru ini.
Gambar fail menunjukkan Abang Johari bersama pemimpin GPS lain ketika melancarkan manifesto, baru-baru ini.
KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) secara tidak rasmi telah berjaya memenangi 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN12), jumlah kerusi minimum untuk membentuk kerajaan negeri.

Setakat pukul 7.35 malam tadi, 42 kerusi dimenangi pakatan itu termasuklah di kerusi DUN Gedong yang ditandingi Ketua Menteri yang juga Pengerusi GPS Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Kedua-dua Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Douglas Uggah Embas turut memenangi kerusi mereka di Bukit Sari dan Bukit Saban. 

Penyandang bagi kerusi DUN Pantai Damai Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi dan DUN Samariang Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali; berjaya mengekalkan kerusi masing-masing.

GPS terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

PRN Sarawak kali ini menyaksikan 13 pertandingan tiga penjuru, 33 empat penjuru, 24 lima penjuru, tujuh pertembungan enam penjuru, satu persaingan lapan penjuru dan empat satu lawan satu.

GPS meletakkan 82 calon diikuti Parti Bumi Kenyalang (PBK) (73), Parti Sarawak Bersatu (PSB) (70), Parti Keadilan Rakyat (PKR) (28), DAP (26), Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) (15), Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) (11), Parti Amanah Negara (Amanah) (lapan), Parti Sedar Rakyat Sarawak (Sedar) (lima) dan PAS (1).

Tiga puluh calon Bebas turut bertanding pada PRN ini. - BERNAMA

Advertisement