Anda di sini

Pengundi DUN Lambir tunaikan tanggungjawab

Advertisement
Seorang warga emas dengan dibantu seorang petugas pusat pembuangan undi sedang menuju ke salah satu saluran pembuangan undi di SMK Riam, Taman Tunku.
Seorang warga emas dengan dibantu seorang petugas pusat pembuangan undi sedang menuju ke salah satu saluran pembuangan undi di SMK Riam, Taman Tunku.

MIRI: Keadaan cuaca yang kurang baik dengan hujan renyai-renyai sejak awal pagi ini tidak menghalang para pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lambir keluar mengundi untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing.

Tinjauan di pusat pembuangan undi di Sekolah Menengah Kerajaan (SMK) Riam, Taman Tunku di sini mendapati proses pembuangan undi berjalan lancar dengan bantuan para pertugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di pusat berkenaan. 

Meskipun kehadiran agak perlahan pada pagi ini, namun semua pengundi yang hadir dilihat amat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh SPR. 

Kebanyakan mereka yang keluar awal untuk mengundi terdiri daripada golongan tua, orang kelainan upaya (OKU) dan mereka yang bekerja. 

Antara yang keluar mengundi di pusat itu ialah penyandang kerusi DUN Lambir, Ripin Lamat pada jam 9.23 pagi. 
    
Ripin yang tiba di pusat pembuangan undi jam 9.17 pagi merupakan antara lebih 4,000 orang pengundi berdaftar di pusat pengundian tersebut yang dibuka seawal jam 8 pagi hingga 5 petang. 

Terdapat 9 saluran mengundi dibuka di pusat ini termasuk satu saluran khas untuk anggota askar pencen yang seramai 174 orang. 

DUN Lambir menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon GPS Ripin Lamat yang ditentang calon PKR, Zulhaidah Suboh dan dua muka baru iaitu Lila Mohamad dari PSB dan Dyanne Oshield Nickson dari PBK.

Zulhaidah akan membuang undi di pusat pembuangan undi di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hua, Bakam dan Lila di pusat pembuangan undi yang sama dengan Ripin.

Untuk rekod, kawasan DUN Lambir mempunyai tujuh kawasan mengundi dengan 14 pusat pembuangan undi dan jumlah pengundi berdaftar adalah seramai 19,907 termasuk 699 pengundi awal.

Dalam pada itu, Ripin, ketika ditemui selepas membuang undi sebentar tadi amat berpuashati dengan kelancaran proses mengundi di sini. 

Sehubungan itu, beliau menyeru kepada para pengundi supaya keluar mengundi awal sekiranya ada kelapangan pagi ini dan tidak semestinya mengikut waktu yang diberikan oleh SPR. 

"Keluarlah mengundi awal pagi ini sekiranya ada kelapangan dan tak perlu mengikut waktu yang diberikan oleh SPR agar sebelah petang nanti, anda boleh melakukan tugas lain," katanya. 

  • oleh
  • Advertisement