Anda di sini

Padungan kekal milik DAP dengan kemenangan Chong

Advertisement
Chong (kiri) bersama isteri Grace Tan meraikan kemenangan di N.9 Padungan dengan 1,198 undi majoriti.
Chong bersama isteri Grace Tan meraikan kemenangan di N.9 Padungan dengan 1,198 undi majoriti.

KUCHING: Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen menang Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN12) bagi kerusi N.9 Padungan dengan majoriti 1,198 undi. 

Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak memperolehi 4,686 undi menewaskan tiga pencabar lain. 

Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Dato Wee Hong Seng gagal merampas kerusi itu dengan memperolehi hanya 3,488 undi. 

Manakala dua lagi calon Raymond Thong dari Parti Bumi Kenyalang (PBK) memperolehi 930 undi dan Lina Soo yang mewakili Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (ASPIRASI) memperolehi 193 undi. 

Chong ketika ditemui berkata berterima kasih kepada pengundi khususnya di Padungan kerana memberi kemenangan kepadanya di Padungan. 

Meskipun Datuk Bandar adalah lawannya dalam PRN ini, beliau akan cuba terbaik untuk bekerjasama dengan Datuk Bandar untuk berkhidmat kepada rakyat di Padungan. 

Wee ketika ditemui berkata beliau mengucapkan tahniah kepada calon yang menang dan berharap akan berkhidmat dengan baik kepada rakyat di Padungan. 

"Kita hormati keputusan rakyat dan saya berterima kasih kepada semua petugas terutama jentera saya atas kerja keras selama 12 hari berkempen," katanya. 

Wee yang juga Datuk Bandar Kuching Selatan dalam pada itu akan meneruskan tugasnya sebagai Datuk Bandar seperti biasa.

Beliau katanya juga sedia dan terbuka berkerjasama dengan wakil rakyat yang dipilih demi kepentingan warga Padungan yang juga di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS). 

Dalam pada itu seramai 9,297 pemilih keluar mengundi bagi N.9 Padungan dengan peratusan keluar mengundi  44.76 peratus. 

  • oleh
  • Advertisement