Anda di sini

Masalah ketiadaan kerusi roda di pusat mengundi diatasi segera

Advertisement
Bahar diiringi petugas SPR selepas membuang undi.
Bahar diiringi petugas SPR selepas membuang undi.

KANOWIT: Masalah ketiadaan kerusi roda pada awal proses mengundi di pusat mengundi SJK Yee Ting di sini berjaya diatasi dengan segera oleh pihak petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Penyandang kerusi Machan Allan Siden Gramong yang dimaklumkan mengenai perkara itu cepat bertindak meminta anak buah untuk mengambil dua buah kerusi roda di Bilik Gerakan PBB untuk kegunaan pengundi yang memerlukan di pusat mengundi.

"Selepas dimaklumkan mengenai perkara itu, saya terus membantu menyelesaikan masalah itu dan mendermakan dua buah kerusi roda baharu untuk kegunaan pengundi yang memerlukan," katanya selepas selesai mengundi pada jam 10.35 pagi.

Tambahan dua buah kerusi roda lagi turut dipinjamkan oleh pihak Pejabat Daerah Kanowit di pusat mengundi tersebut.

Terdahulu, seorang lelaki terpaksa dibimbing petugas Rela selepas melihatnya sukar melangkah masuk ke pusat mengundi menggunakan tongkat pada jam 9.00 pagi.

Bahar Mat, 52, yang berasal dari Kampung Hilir dekat sini merupakan pesakit strok menyebabkan dia sukar bergerak (berjalan) dengan sangat perlahan.

"Saya amat gembira dapat turun mengundi pagi ini walaupun keadaan saya ini sakit tapi apa boleh buat saya ingin menjalankan tanggungjawab saya sebagai pengundi.

"Saya terpaksa duduk dahulu sebab tiada kerusi roda di sini, payah sangat menunggu rakan ambil saya pulang," katanya ketika ditemui.

Sementara itu, Allan juga berharap proses mengundi bagi semua 34 pusat mengundi bagi kawasan Machan berjalan lancar walaupun sedikit hujan pada sebelah pagi.

  • oleh
  • Advertisement