Anda di sini

COVID-19 bukan penghalang keluar mengundi 

Advertisement

KUCHING: Pandemik COVID-19 yang masih menular di negeri ini tidak menghalang pengundi keluar menunaikan kewajipan pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN12) hari ini. 

Tinjauan di Pusat Pengundian Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuching High di sini mendapati pengundi tiba seawal jam 7.30 pagi bagi proses pengundian. 

Malah semua pengundi dilihat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan memakai pelitup muka, mengimbas kod MySejahtera, mengambil suhu badan dan paling penting menjaga penjarakan fizikal. 

Kiung Teck Chang
KIUNG

Salah seorang pengundi yang ditemui Kiung Teck Chang, 57, berkata meskipun bimbang akan pandemik COVID-19, namun tanggungjawab sebagai pengundi  perlu ditunaikan. 

"Bagi saya ia adalah tanggungjawab kita sebagai rakyat untuk mengundi kerana undi kita penentu kerajaan.

"Sebab itu meskipun negara masih bergelut dengan COVID-19, saya tetap keluar mengundi, katanya. 

Ditanya adakah ahli keluarganya yang lain juga mengundi, Kiung berkata semua mereka mengundi kecuali ibunya kerana masalah kesihatan.

Kiung juga berkata untuk PRN kali ini dia memilih parti yang stabil dan kekal  bertahan meskipun berdepan kemelut politik. 

"Saya sudah melihat banyak parti dan muncul dan hilang dan untuk PRN kali ini saya memilih kerajaan yang stabil dengan polisi kukuh," katanya. 

Yeo Kim Tiong
YEO

Sementara itu Yeo Kim Tiong, 65, juga keluar menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dengan pematuhan SOP yang ditetapkan.

Yeo yang merupakan antara pengundi yang tiba awal di pusat pengundian SMK Kuching High berkata proses pengundian kali ini berjalan lancar dalam norma baharu.  

Yeo turut berkata selesai PRN ini tumpuan seterusnya pastinya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). 

  • oleh
  • Advertisement