Anda di sini

Cepat dan lancar, Pusat Mengundi SK St Martin dapat pujian pengundi

Advertisement
 Keadaan Pusat Mengundi SK St Martin (kini SK Merdang) tidak sesak.
TERATUR: Keadaan Pusat Mengundi SK St Martin (kini SK Merdang) tidak sesak.

KOTA SAMARAHAN: Rata-rata pemilih yang membuang undi di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) St Martin yang kini dikenali sebagai SK Merdang bagi DUN Stakan memuji kelancaran proses pengundian di pusat berkenaan. 

Tinjauan Utusan Borneo di pusat mengundi itu hari ini mendapati tiada kesesakan berlaku dan lancar. 

Malah, pengundi juga tidak berbaris panjang untuk menunggu giliran membuang undi. 

Menurut Ismail Ali, 61,  yang hadir bersama isterinya Melia Awang, 58, di Pusat Mengundi SK St Martin, mereka tidak menunggu lama untuk proses pengundian di situ. 

"Kami keluar dari rumah (di Samarindah) sekitar jam 9.30 pagi mengikut waktu yang dijadualkan dalam sistem Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam talian. 

"Tiba di sini 9.40 pagi dan dalam kurang 10 minit sudah selesai mengundi. Sangat lancar dan cepat tanpa perlu berbaris panjang," katanya ketika ditemui Utusan Borneo di sini hari ini. 

Tambahnya, kemudahan yang selesa ditempat mengundi juga memberi keselesaan kepada pengundi di sini. 

Pujian yang sama turut disuarakan Serina Kuai dan Francizda Oyong yang memberitahu mereka tidak perlu menunggu lama untuk menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pemilih. 

Kata mereka, dengan itu dapat memudahkan pengundi terutama mereka yang bekerja ketika hari mengundi ini. 

"Tidak tunggu lama, sekejap saja sudah selesai," kata mereka. 

Pusat Mengundi SK St Martin dibuka sejak jam 7.30 pagi yang mana empat Saluran dibuka bagi kelancaran proses pengundian. 

Berdasarkan data SPR, terdapat 1,214 pemilih bagi lokaliti Samarindah yang layak mengundi di Pusat Mengundi SK St Martin ini. 

Seramai 42 petugas pilihan raya ditugaskan di pusat mengundi ini bagi memastikan proses pengundian berjalan dengan lancar. 

Pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12), DUN Stakan menyaksikan pertandingan empat penjuru iaitu calon GPS Datuk Hamzah Ibrahim, Leslie Ting Zhiang Xie (DAP), Parti Bumi Kenyalang Atet Dego (PBK) dan PSB George Young Si Ricord Junior.

  • oleh
  • Advertisement