Anda di sini

Baru Bian menang di Ba'Kelalan

Advertisement
 

LAWAS: Calon Parti Sarawak Bersatu (PSB) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ba'Kelalan Baru Bian (gambar) berjaya mengekalkan kemenangannya apabila diumumkan memenangi Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN12) DUN itu selepas menewaskan empat pencabar lain. 

Pengumuman itu dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Ba'Kelalan Joseph Ganang Surang di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Pejabat Daerah Lawas di sini. 

Baru berjaya mempertahankan kerusi setelah menewaskan empat calon lain dengan majoriti 680 undi. 

Baru yang juga penyandang kerusi tersebut memperolehi 2,687 undi menewaskan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Sam Laya yang mendapat 2,007 undi, calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Peter Asut (110), calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Martin Labo (57), dan calon Bebas Agnes Padan (55). 

Pengumuman yang dibuat kira-kira jam 7 malam itu membolehkan hasrat Baru untuk meneruskan perjuangannya sebelum ini kepada rakyat di kawasan itu terlaksana. 

Semua pusat mengundi ditutup pada jam 3 petang dan ada pusat mengundi yang tutup seawal jam 11 pagi, jumlah peratusan yang keluar mengundi adalah 58.85 peratus, daripada jumlah itu sebanyak 62 undi telah ditolak. 

Mengikut daftar pemilih yang didaftarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seramai 8,503 pemilih layak mengundi pada PRN12 bagi DUN Ba'Kelalan. 

Sebanyak 29 saluran mengundi dibuka di DUN Ba'Kelalan melibatkan bangunan sekolah, dewan masyarakat dan pusat latihan. 

Pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 (PRN11), Baru memperoleh majoriti 538 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Willie Liau. 

  • oleh
  • Advertisement