Anda di sini

Bangun seawal jam 4 pagi bersiap untuk ke pusat mengundi

Advertisement
 

LAWAS: Walaupun maklum pengundian hanya akan dibuka jam 7.30 pagi, namun semangat berkobar-kobar untuk memilih wakil rakyat baharu membuatkan warga di sini sanggup bangun seawal jam 4 pagi dan menunggu di pintu pagar pusat mengundi jam 6 pagi. 

Antaranya ialah wanita warga emas Bulan Agong (gambar), 65, dari Kampung Belunat begitu comel menaiki basikal elektriknya ke pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Siang-Siang di sini. 

"Semangat saya begitu berkobar-kobar hari ini sehinggakan sanggup bangun jam 4 pagi dan jam 6 pagi sudah turun ke pusat mengundi. Walaupun saya warga emas, tapi saya tidak takut untuk pergi mengundi kali ini kerana saya yakin prosedur operasi standard (SOP) disediakan dapat melindungi kita semua," katanya ketika ditemui.

Perasaan sama turut dikongsi Rabai Entalang, 56, dari Kampung Lumut Laut yang bangun seawal jam 4.30 pagi dan bersemangat datang ke pusat mengundi jam 6.40 pagi. 

"Perasaan saya pagi ini sangat senang hati kerana inilah saat yang saya tunggu-tunggu kerana sejak umur saya 20an sampai sekarang tidak pernah tertinggal untuk turun mengundi. Saya berdoalah siapa yang akan terpilih nanti bakal menjadi wakil rakyat yang bagus bagi kawasan Ba'Kelalan," ujarnya. 

Tinjauan awal Utusan Borneo mendapati pengundi di sini menunggu seawal jam 6 pagi untuk membuang kertas undi dan petugas turut mengawal penjarakan fizikal pengundi mengikut SOP ditetapkan agar tidak bersesak-sesak. 

SK Siang-Siang yang menempatkan dua saluran mengundi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ba'Kelalan dan dijangka tutup jam 2 petang. 

  • oleh
  • Advertisement