Anda di sini

Abang Johari, Tun Taib mengundi di Kompleks Sukan Satok

Advertisement

KUCHING: Pusat mengundi Padang Futsal dan Padang Sepak Takraw di Kompleks Sukan Satok, Padang SLPAS di sini, menjadi antara pusat yang mendapat perhatian apabila kebanyakan kenamaan membuang undi di pusat terbabit hari ini.

Antaranya, Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Selain itu, turut membuang undi di tempat sama ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Hanifah Hajar Taib.

Abang Johari yang tiba di pusat mengundi Padang Futsal, Kompleks Sukan Satok pada jam 9.57 pagi ditemani isterinya, Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang.

Abang Johari mengundi di Padang Sepak Takraw, Kompleks Sukan Satok - Gambar BERNAMA

Sementara Tun Taib menunaikan tanggungjawabnya di pusat mengundi Padang Sepak Takraw, Kompleks Sukan Satok pada jam 11.40 pagi.

Beliau yang turut ditemani isterinya, Toh Puan Datuk Patinggi Ragad Kurdi Taib serta diiringi calon GPS DUN Satok, Datuk Ibrahim Baki selesai mengundi di pusat berkenaan sekitar 11.45 pagi.

Manakala Hanifah yang juga Ahli Parlimen Mukah membuang undi di Padang Futsal, Kompleks Sukan Satok pada jam 8.25 pagi.

Hanifah ketika ditemui media berkata,  beliau berpuas hati dengan proses PRN12 di DUN Satok.

“Semuanya berjalan lancar dan baik di mana semua prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi pengundi di sini,” ujarnya.

Tun Taib bersama Ibrahim ketika mengundi di Padang Sepak Takraw, Kompleks Sukan Satok - Gambar BERNAMA

Sementara itu, Ibrahim,62, yang turut meluangkan masa meninjau di pusat mengundi berkenaan telah selesai menjalankan tanggungjawabnya sebagai pengundi pada jam 8.02 pagi.

Beliau yang ditemani isterinya, Datin Noor Akma Hamdan membuang undi Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Rakyat, Jalan Haji Bolhassan di sini pada jam 7.55 pagi.

Dalam pada itu, Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail ditemani Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ashmon Bajah hadir ke pusat mengundi Padang Futsal dan Padang Sepak Takraw di Kompleks Sukan Satok sekitar jam 9 pagi.

Kehadiran beliau ke pusat mengundi berkenaan adalah untuk membuat pemantauan proses pengundian di kawasan tersebut.

Pada PRN Sarawak kali ini, DUN Satok menyaksikan pertembungan tiga penjuru membabitkan Ibrahim dengan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Dr Nor Irwan Ahmad dan Awang Badele Awang Ali daripada Parti Bumi Kenyalang (PBK).

Kerusi DUN Satok sebelum ini disandang oleh Abang Johari selama lapan penggal yang memilih bertanding di DUN Gedong pada PRN kali ini.

  • oleh
  • Advertisement