Anda di sini

PRN12 berbeza, pengundi teruja dapat balik kampung mengundi esok

Advertisement
Jumarudy
Jumarudy

LIMBANG: Perasaan teruja, gembira dan gementar mengiringi perjalanan balik kampung bagi penduduk Limbang yang bekerja di luar demi menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih esok.

Bagi Jumarudy Jumat, 39, dari Kampung Berawan dekat sini walaupun pernah mengundi sebelum ini,suasana Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN12) kali ini agak berbeza.

“Perasaan gembira, teruja dan sedikit gementar kerana melihat persaingan sengit, pertembungan empat penjuru pada PRN12 kali ini,” katanya ketika ditemui hari ini.

Jumarudy yang sudah bekeluarga dan bekerja sendiri di Kuching sejak 10 tahun lalu menggunakan penerbangan dari Kuching ke Limbang sejak 15 Disember lepas.

“Ini kali ketiga saya menunai tanggungjawab mengundi, agak terkejut kerana melihat perubahan Limbang yang disayangi sudah jauh  berubah.

“Banyak pembangunan sudah dilaksanakan di bandar ini berbanding dulu, Limbang memang cepat membangun,” ujar beliau lagi.

Suasana PRN12 katanya turut berubah dan berbeza kali ini apabila mengikut garis panduan (SOP) ditetapkan.

“Segala SOP ini perlu dipatuhi demi memutuskan rantaian COVID-19,” jelasnya.

Hairol
Hairol

Bagi seorang kakitangan kerajaan, Hairol Tangah, 44, yang berasal dari Kampung Gadong dekat sini, pulang ke daerah ini kali ini amat sukar dan berbeza.

Menurutnya tambang kapal terbang yang agak mahal dan membebankan tidak mematahkan semangat rakyat Limbang yang bekerja di luar pulang ke daerah ini untuk menunai tanggungjawab mengundi esok.

“Jika dulu setiap kali turun mengundi, saya dan keluarga akan memandu dari Miri ke Limbang menggunakan jalan darat, jadi kos balik tidak tinggi.

“Sekarang kami tidak mempunyai pilihan terpaksa menggunakan pengangkutan udara dengan perbelanjaan agak mahal sekitar RM300 laluan pergi dan balik untuk seorang,” katanya.

Hairol berkata pandemik COVID-19 yang melanda lebih dua tahun ini memberi kesan kepada penduduk di utara negeri ini khususnya untuk melakukan pergerakan rentas daerah.

“Susah macam mana pun demi masa depan Limbang saya perlu menunaikan tanggungjawab untuk turun mengundi.

“Kita kena pandai merancang dan menabung awal, bagi saya dan isteri yang bekerja mungkin tidak terasa sangat, tapi mereka yang tidak bekerja akan memberi kesan pulang ke kampung halaman untuk mengundi,” katanya lagi.

Hairol yang bekerja di Miri sejak 17 tahun lalu tidak pernah lupa pulang ke kampung halaman di Limbang untuk mengundi setiap kali musim pilihan raya.

Beliau yang bercuti sejak 12 Disember lalu mengambil kesempatan untuk turun memangkah memilih kerajaan bagi meneruskan pembangunan termasuk di kampung halamannya yang dinikmati sebelum ini.

  • oleh
  • Advertisement