Anda di sini

PKR, GPS dan PDP antara dikompaun langgar SOP PRN12

Advertisement
Aidi semasa bercakap dalam sidang media tersebut. -gambar Roystein Emmor
Aidi semasa bercakap dalam sidang media tersebut. -gambar Roystein Emmor

KUCHING: Sebanyak 11 kompaun dikeluarkan atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12) sejak 6 hingga 16 Disember, membabitkan nilai RM36,000.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berkata Parti Keadilan Rakyat (PKR) merekodkan empat kompaun, Gabungan Parti Sarawak (GPS) tiga kompaun, Parti Demokratik Progresif (PDP) serta calon bebas masing-masing satu kompaun dan dua lagi kompaun dikeluarkan ke atas pihak yang tidak berkaitan mana-mana parti.

Menurutnya, SOP tersebut ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jawatankuasan Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS).

"Pemantauan akan terus dijalankan sehingga lewat malam nanti iaitu hari terakhir berkempen untuk memastikan semua pihak mematuhi SOP yang ditetapkan," katanya dalam sidang media Sempena Hari Mengundi PRN12, hari ini.

Selain itu, katanya sebanyak 185 laporan polis diterima berkaitan PRN12 dan 71 kertas siasatan dibuka setakat hari ini.

Jelas beliau, siasatan kes khianat paling banyak iaitu 23 kes, diikuti fitnah; 12 kes dan menggunakan media sosial menyebarkan berita palsu; enam kes.

"Bagaimanapun setakat ini belum ada saksi dipanggil untuk siasatan lanjut," katanya.

Sementara itu, Aidi turut memberitahu seramai 7,434 pengawai dan anggota Polis Kontinjen Sarawak akan bertugas pada hari mengundi esok.

"Bantuan dari luar kontinjen adalah seramai 333 orang dan bantuan pasukan sahabat termasuk RELA seramai 3,152 akan membantu untuk kawalan keselamatan di semua 1,866 pusat mengundi.

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menyediakan sumber manusia yang secukupnya untuk memastikan proses pilihan raya terkawal serta berjalan dengan selamat dan lancar," katanya.

Katanya juga, selain pasukan pemantau SOP, PDRM turut menubuhkan pasukan pemantaun udara yang mana helikopter dan dron akan digunakan untuk membuat pemantauan keselamatan dan SOP dari udara.

"47 Unit Pasukan Light Strike Force (LSF) dan empat pasukan Public Order and Riot Unit (PORU) juga sentiasa dalam keadaan siap siaga," katanya.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa memberi kerjasama kepada petugas SPR, PDRM ketika berada di pusat mengundi nanti.

"PDRM akan ambik tindakan tegas ke atas sesiapa sahaja yang cuba menganggu gugat ketenteraman awam semasa hari mengundi esok," tegasnya.
 

  • oleh
  • Advertisement