Anda di sini

Pertahan kepimpinan kerajaan Sarawak

Advertisement
Gambar fail.
Gambar fail.

BINTULU : Masyarakat di kawasan DUN Kemena perlu terus mempertahankan kepimpinan kerajaan Sarawak bagi meneruskan kesinambungan pembangunan di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing (gambar) berkata, beliau yakin masyarakat di kawasan DUN itu dapat menilai apa yang telah dilaksanakan sejak GPS mentadbir dan mengurus negeri ini.

Justeru, katanya masyarakat di DUN itu diseru untuk terus menyokong penuh pucuk pimpinan GPS yang diterajui Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan calon GPS DUN Kemena Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom pada Plihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 ini (PRN12).

Beliau mahu mereka menterjemahkan sokongan kepada GPS pada hari pengundian (18 Disember).

Pada masa sama, beliau turut memohon maaf kepada rakyat di kawasan DUN Kemena sekiranya calon GPS di DUN berkenaan ada kekurangan atau kekhilafan dalam memberikan perkhidmatan kepada mereka.

Sebagai Pengerusi GPS Zon Bintulu jelasnya, beliau bertanggungjawab sekiranya ada yang gagal memberikan perkhidmatan kepada rakyat yang memerlukan.

Beliau juga meminta ahli semua parti komponen GPS bekerjasama bagi memastikan kejayaan gabungan itu dalam mengekalkan mandat pada PRN12.

"Apa yang lebih penting ialah bekerjasama bagi memastikan GPS, yang terdiri daripada empat parti komponen iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP), memenangi kesemua  kerusi ditandingi," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyantuni penduduk Rumah Jimbai Sabang, Sungai Gerong, Rumah Tabor Lasah, Sungai Sera dan Rumah William Munat, Sungai Senggam di Jalan Ulu Sebauh semalam.

“Saya berharap semua pihak jangan emosional dan bekerjasama demi rakyat, parti politik merupakan platform sahaja,” kata Tiong yang juga merupakan calon GPS bagi DUN Dudong.

Katanya, rakyat perlu memikirkan masa depan mereka dalam jangka masa panjang sekali gus memberikan jaminan untuk melihat serta mencari jalan penyelesaian terhadap isu atau permasalahan yang dibangkitkan rakyat di kawasan Kemena.

“Saya akan cuba dan lakukan yang terbaik untuk  rumah panjang di kawasan Bintulu", ujarnya.

Selain itu katanya, beliau akan berbincang dan menasihati wakil rakyat Kemena mengenai sebarang kepincangan yang dibangkitkan rakyat di kawasan itu khususnya membabitkan pelaksanaan projek pembangunan dan berkaitan.
 

  • oleh
  • Advertisement